Anda di sini

Semai semangat sukarela

Advertisement

BERI SOKONGAN: Adenan memberi sumbangan sempena Hari Bendera PBSM Cabang Kuching yang dilancarkan semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

Adenan lancar Hari Bendera BSM Kuching sasar RM40,000

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem semalam melancarkan Hari Bendera Bulan Sabit Merah (BSM) Cabang Kuching yang menyasarkan kutipan sebanyak RM40,000 daripada kempen yang berlangsung selama dua minggu itu.

Pada majlis ringkas itu, Adenan turut memberi sumbangan peribadi beliau sebagai sokongan kepada aktiviti mengumpul dana BSM yang akan digunakan sepenuhnya untuk membantu golongan yang memerlukan.

Naib Pengerusi BSM Cabang Kuching merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Mengumpul Dana, Titus Chuo berkata kempen berkenaan merupakan antara aktiviti tahunan utama dianjurkan selain kempen menderma darah dan jogaton.

Menurut Chuo, kempen Hari Bendera juga bertujuan menyemai semangat sukarelawan khususnya dalam kalangan generasi muda agar membantu golongan kurang bernasib baik serta memerlukan.

Di Sarawak, katanya, BSM Cabang Kuching mencatatkan rekod terbanyak mengumpul darah menerusi kempen menderma darah yang dianjurkan bagi membantu Hospital Umum Sarawak (HUS) menangani masalah kekurangan bekalan darah dihadapinya.

“Kita akan meneruskan program ini tahun ini dan bagi tujuan itu, kira-kiara RM50,000 hingga RM60,000 diperlukan.

“Sudah tentu aktiviti lain yang kita lakukan ialah melatih anggota beruniform kita melakukan kerja-kerja kebajikan serta melatih pekerja komersil dalam kerja-kerja sosial antaranya pertolongan kecemasan,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Chuo memberitahu, PBSM Cabang Kuching sentiasa mengalu-alukan sumbangan orang ramai khususnya dalam bentuk kewangan bagi menampung perbelanjaan tahunan yang semakin meningkat.

Pada tahun ini sahaja, katanya, mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM130,000 bagi membiayai aktiviti-aktiviti kebajikan di seluruh negeri, khasnya di bahagian Kuching.

“Setiap tahun aktiviti jogaton dapat menyumbang sekitar RM70,000 kepada persatuan selain kempen Hari Bendera dan sumbangan orang ramai.

“Jadi, saya meminta orang ramai agar terus membantu dan kami amat berterima kasih kepada sumbangan daripada orang ramai selama ini terutama dari segi kewangan,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh Pengerusi BSM Cabang Kuching Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zain, Timbalannya Dr Chou Chii Ming serta ahli-ahli PBSM yang lain.

Advertisement