Anda di sini

Sekolah boleh batal, lewatkan sesi jika IPU tidak sihat

Advertisement

UDARA KOTOR: Tiga murid Sekolah Kebangsaan Pagar Besi, Batu Rakit terpaksa menutup mulut dan hidung mereka menggunakan tangan sewaktu pergi ke sekolah itu, yang dicemari asap dari kebakaran hutan di Kuala Terengganu semalam. — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit dan Sekolah Kebangsaan Pagar Besi boleh melewatkan atau membatalkan sesi persekolahan jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu mencatatkan bacaan tidak sihat.

Pengarah Pendidikan Terengganu Zakaria Hussin berkata selagi IPU mencatatkan bacaan tidak sihat kedua-dua sekolah berkuasa membuat keputusan.

“Paling utama ialah ke-sihatan pelajar. Jika asap masih tebal dan dirasakan boleh menjejaskan kesihatan pelajar, mereka boleh fikirkan keputusan yang terbaik,” katanya pada Bernama semalam.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu Azahar Abu Bakar berkata kedua-dua sekolah berkenaan masih melewatkan sesi persekolahan semalam kepada 9 pagi.

“Pihak kami berharap situasi ini tidak berterusan kerana tidak mahu pembelajaran pelajar terjejas,” katanya.

Kualiti udara di kawasan itu terjejas teruk akibat kebakaran hutan tanah gambut berhampiran Ladang Rakyat di Lembah Bidong.

Sementara itu Jabatan Alam Sekitar ketika dihubungi Bernama memaklumkan IPU di kawasan berkenaan melebihi 200 atau sangat tidak sihat pada jam 7 pagi semalam. — Bernama

Advertisement