Anda di sini

Sarawak catat rampasan diesel terbesar

Advertisement

RAMPASAN TERBESAR: Stanley (kanan) semasa bercakap kepada pemberita pada sidang media tersebut. Turut kelihatan kapal kargo yang disita selepas didapati membawa 130,000 liter diesel.

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak merekodkan rampasan terbesar minyak diesel tahun ini selepas menahan sebuah kapal kargo yang sarat dengan muatan kira-kira 130,000 liter minyak.

Pengarahnya Stanley  Tan berkata, diesel tersebut yang dianggarkan bernilai RM338,000 dirampas hasil operasi bersama dengan Suruhanjaya Pencegahan Ra-suah Malaysia (SPRM) dan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA), baru-baru ini.

“Kapal kargo tersebut bersama tujuh anak kapal telah ditahan di sebuah dermaga di kawasan Bintawa yang mana pemeriksaan lanjut telah menemui kira-kira 130,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM338,000.

“Minyak diesel itu disyaki dibeli dari sindiket yang menyeleweng minyak diesel subsidi untuk dijual kepada pihak industri di Sibu dan Kapit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media berhubung rampasan tersebut semalam sambil menambah kesemua anak kapal adalah warga tempatan dan masih ditahan untuk membantu siasatan.

Selain itu, Stanley memberitahu pihaknya juga telah menyita kapal kargo ber-kenaan yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM1,638,000.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana boleh dikenakan hu-kuman denda RM100,000 serta tiga tahun penjara untuk individu atau denda RM250,000 melibatkan syarikat jika disabit kesalahan,” katanya.

Selain itu, Tan dalam perkembangan lain memberitahu, KPDNKK pada tahun ini telah menyelesaikan 10 kes melibatkan penyelewengan minyak diesel.

“Jumlah kes melibatkan sitaan minyak diesel dari 1 Januari sehingga 11 Mac tahun ini bagi seluruh negeri adalah 10 kes dengan nilai sitaan dianggarkan RM2,173,740,” katanya.

Advertisement