Anda di sini

Sarawak berusaha kenal pasti bakat baharu skuasy

Advertisement

SIBU: Persatuan Skuasy Sarawak (SRAS) berusaha mengenal pasti bakat baharu di seluruh negeri dengan menganjurkan Program Pembangunan Skuasy Junior (JDP) bermula 29 Mac depan.

Presidennya, Robert Lau berkata JDP akan diadakan di Kuching, Sibu dan Miri pada masa dan hari yang sama.

“Kami mempunyai sebab bahawa terdapat ramai pemain berpotensi di luar sana yang bakat mereka belum dikesan.

“Justeru, saya berharap mereka dapat menyertai program yang kita anjurkan bagi membentuk negeri ini sebagai kuasa besar sukan skuasy,” katanya di sini semalam.

Lau memberitahu, JDP akan diadakan di gelanggang skuasy SMK Sacred Heart di sini manakala di Kuching diadakan di Dewan MBKS, Jalan Pending.

Sementara itu, di Miri program tersebut akan diadakan di SMK Pei Ming atau SK Bintang.

Lau berkata, program mencari bakat tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan terutamanya di kalangan ibu bapa.

Justeru, Lau menjemput ibu bapa supaya membawa anak-anak mereka berusia 10 tahun ke bawah menyertai program tersebut.

Selain itu, pegawai-pegawai SRAS juga akan pergi ke sekolah-sekolah bagi mengenal pasti pemain berbakat yang mungkin berminat dengan sukan itu.

Menurut Lau, beliau mengakui tugas mengenal pasti pemain berbakat bukan sesuatu yang mudah.

“Sebab itu, kita akan pergi ke sekolah-sekolah mendapatkan kebenaran dari pihak sekolah, pengetua dan guru-guru bagi membantu mencungkil bakat pemain baharu.

“Kami juga memerlukan sokongan ibu bapa kerana tanpa bantuan mereka program ini tidak mendapat penyertaan,” katanya.

Advertisement