Anda di sini

Penduduk perlu tahu cara terbaik tangani kebakaran rumah panjang

Advertisement

SIBU: Penduduk rumah panjang perlu dilengkapi dengan pengetahuan atau cara-cara memadamkan kebakaran sebagai cara terbaik dalam menangani kebakaran melibatkan rumah-rumah panjang.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk John Sikie Tayai berkata, dialog antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga perlu diadakan dengan lebih kerap.

Dengan cara itu, katanya, maklumat atau pengetahuan berkaitan dapat disalurkan kepada penduduk rumah panjang dengan lebih berkesan.

“Memberi alat pemadam api mudah alih tidak akan membantu sekiranya penduduk tidak tahu cara menggunakan alat tersebut ketika berlaku kebakaran.

“Dengan kursus atau latihan oleh pihak bomba dapat memberi pengetahuan kepada penduduk rumah panjang berhubung cara yang betul dalam menangani kebakaran.

“Ini amat penting memandangkan orang ramai akan terlupa menggunakan alat pemadam ini setelah sekian lama,” ujar ADUN Kakus itu.

Menerusi dialog itu, menurut Sikie, penduduk juga akan diingatkan agar melakukan penyelenggaraan dengan lebih kerap terhadap peralatan memadam kebakaran.

“Ramai tidak tahu alat pemadam api mudah alih ini mempunyai tarikh luput dan perlu diselenggara secara berkala. Jika tidak, alat ini tidak boleh digunakan apabila kita memerlukannya,” jelas beliau.

Pengarah JBPM Sarawak, Nor Hisham Mohammad ketika dihubungi memberitahu, pihak jabatan sedia memberi latihan kepada penduduk rumah panjang bagi menambahkan pengetahuan mereka dalam memadamkan kebakaran.

Beliau juga menyeru JKKK agar menyebarkan maklumat dan menekankan aspek keselamatan kepada penduduk rumah panjang yang lain.

Advertisement