Anda di sini

Pendidikan martabat Bumiputera

Advertisement

BANGUNKAN MODAL INSAN: Fatimah (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek SPIN yang disampaikan oleh Ahmad kepada Natasha, semalam. Turut kelihatan pelajar-pelajar Yahos Sdn Bhd yang menerima pembiayaan daripada Yayasan Pelajaran MARA.

Kerajaan akan pastikan proses membasmi kemiskinan diteruskan: Fatimah

KUCHING: Kerajaan akan terus memartabatkan pendidikan kepada rakyat sebagai antara proses pembasmian kemiskinan di dalam negara.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata usaha sejak awal kemerdekaan itu amat penting dalam memastikan rakyat khususnya kaum Bumiputera keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Sehingga hari ini, kerajaan masih dalam proses membasmi kemiskinan sama ada di luar bandar mahupun bandar dan strategi terbaik adalah menerusi pendidikan.

“Sebab itu, kerajaan amat menekankan agar setiap rakyat mendapat pendidikan,” katanya pada Majlis Penyerahan Replika Cek Skim Pembiayaan Pendidikan (SPIN), Yayasan Pelajaran MARA di Yahos Sdn Bhd di sini, semalam.

Justeru, Fatimah berkata antara inisiatif penting yang telah dilaksanakan kerajaan ialah penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang memberi peluang kepada anak-anak Bumiputera mendapat pendidikan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Pelajar Yahos Sdn Bhd telah mula mendapat pembiayaan SPIN pada 2013 iaitu program peluang kedua bagi menyediakan kemudahan pendidikan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM, khususnya Bumiputera dari keluarga berpendapatan rendah.

Bagi pengambilan September 2013, seramai 64 pelajar Yahos telah mendapat manfaat pembiayaan SPIN untuk program Penjagaan Kanak-Kanak Tahap 2 dan 3, Penyediaan Makanan Tahap 1 dan 2, Juruteknik Rangkaian Komputer Tahap 2 dan 3 serta Pegawai Latihan Vokasional Tahap 3.

Menurut Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Yayasan Pelajaran MARA Ahmad Adnan, jumlah pembiayaan tersebut adalah sebanyak RM504,000.

“Kerajaan persekutuan dan negeri sentiasa bekerjasama dalam membangunkan modal insan negara.

“Bagi pihak Yayasan Pelajaran MARA, kami akan terus memantapkan lagi penyaluran dana demi pembangunan pendidikan khususnya di kalangan pelajar Bumiputera,” katanya.

Sementara itu, Fatimah berharap pembiyaan sedemikian akan dipergiatkan bagi membantu belia Bumiputera mendapatkan kemahiran atau pensijilan yang boleh membuka lebih banyak peluang kerjaya untuk mereka selepas tamat pengajian.

“Kekangan kewangan tidak timbul lagi bila ada pihak seperti Yayasan Pelajaran MARA yang prihatin dan menghulurkan bantuan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut memuji Yahos Sdn Bhd kerana proaktif dalam menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak Bumiputera menerusi kursus-kursus yang relevan.

“Dengan itu, sesiapa sahaja akan dapat belajar di Yahos terutamanya anak-anak Bumiputera dari keluarga miskin,” katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yahos Sdn Bhd Natasha Nasa.

Advertisement