Anda di sini

PATI Indonesia dipenjara, sebat kerana masuk haram

Advertisement

MIRI: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen pagi semalam kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.

Hukuman itu dijatuhkan Timbalan Pendaftar Nasrul Hadi Abdul Ghani setelah tertuduh, Prape Mapa menukar pengakuannya kepada bersalah atas tuduhan tersebut.

Prape, 42 tahun dan berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh telah ditahan pada jam 6 petang, 10 Februari tahun ini di Wad 8 Hospital Miri untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh yang merupakan warganegara Indonesia telah masuk ke negeri ini tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa kes ini telah ditetapkan untuk dibicara lanjut pagi semalam, namun tertuduh kemudian memberitahu ingin menukar pengakuannya kepada bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Advertisement