Anda di sini

Misteri kehilangan pesawat MH370 ujian besar rakyat, kerajaan: Simoi

Advertisement

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri menyifatkan misteri kehilangan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH 370 sejak Sabtu lalu sebagai ujian besar kepada rakyat serta kerajaan Malaysia.

Menurutnya, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Saya mewakili rakyat di DUN Lingga turut bersimpati dan sedih dengan berita kehilangan pesawat tersebut.

“Apa yang berlaku adalah di luar dugaan kita dan dalam hal ini, kerajaan berusaha mencari pesawat tersebut dan diharapkan semua pihak khususnya keluarga mangsa tidak berputus asa berdoa dan bersabar dalam menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku,” ujarnya menerusi kenyataan media semalam.

“Harapan kita, agar kesemua penumpang termasuk anak kapal dapat dijumpai seberapa segera dan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.”

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Biro Agama Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak mengingatkan mana-mana pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas dan menyalahkan pihak tertentu dalam kehilangan pesawat itu kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.

“Jangan mudah membuat tuduhan liar atau menganggap bahawa ia adalah bala daripada Allah.

“Sebagai seorang Islam, kita wajib menyakini bahawa sesuatu perkara yang berlaku sama ada yang baik atau buruk adalah ketentuan-Nya.

“Apa yang penting, kita semua harus berdoa semoga kesemua penumpang dan anak kapal dapat ditemui segera,” katanya.

Advertisement