Anda di sini

Masyarakat dinasihat cegah penularan penyakit

Advertisement

PERLU DIBAIKI: Salah seorang peniaga di Pusat Penjaja Semarak sambil disaksikan pegawai DBKU menunjukkan jaring penutup makanan yang sudah berlubang. — Gambar Chimon Upon

Tekankan aspek kesihatan dan kebersihan sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan warga kota

KUCHING: Masyarakat bandar raya ini disaran agar menekankan aspek kesihatan dan kebersihan terutama dalam mencegah serta membasmi penularan penyakit berjangkit seperti wabak kencing tikus.

Justeru, menurut Timbalan Pengarah Kawal Selia Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Andrew Joris, DBKU kini mempergiatkan usaha terutama memerangi pembiakan tikus sekali gus mempertingkatkan kualiti kehidupan warga kota.

“Salah satu inisiatif DBKU dalam mengawal populasi tikus ialah dengan mengadakan Kempen Kawalan Tikus Perdana yang melibatkan aktiviti pembasmian tikus di sekitar bandar raya Kuching.

“Selain itu, ia juga bertindak sebagai ejen penguat kuasa yang akan sentiasa memantau aktiviti persekitaran yang menjadi punca kedatangan tikus di kawasan-kawasan yang terlibat,” ujarnya ketika melawat Pusat Penjaja Semarak bersama pengamal media di sini, semalam.

Andrew berkata, antara kawasan yang menjadi tumpuan kempen kawalan itu ialah kawasan komersil yang melibatkan pasar awam, pusat penjaja makanan serta di lokasi aduan awam.

Menurutnya, kaedah kawalan tikus yang biasa digunakan DBKU terbahagi kepada dua kategori merangkumi kaedah ‘Matikus’ serta penggunaan perangkap tikus.

Tikus menjadi binatang sasaran kempen tersebut kerana menurut kajian saintifik, tikus disifatkan sebagai binatang yang mudah dijangkiti pelbagai jenis parasit serta ejen zoonotik yang boleh menyebarkan penyakit kepada manusia sama ada secara langsung atau tidak langsung, katanya.

“Sepanjang pantauan serta gerakan menangkap tikus berkenaan melalui kempen kawalan tikus 2013, sebanyak 1,525 tikus berjaya ditangkap di 20 lokasi sasaran DBKU.

“Di Pusat Penjaja Semarak ini sahaja, sebanyak 116 tikus berjaya ditangkap dari Januari sehingga Disember 2013 dan bacaan statistik menunjukkan trend yang menurun dari bulan ke bulan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Andrew menggesa warga kota Kuching khususnya agar sentiasa bekerjasama dengan DBKU dalam membendung pembiakan tikus sekali gus mengawal populasi binatang itu.

Ia disifatkan penting terutama dalam mengurangkan kerosakan, kacau ganggu serta penularan penyakit berpunca dari binatang yang boleh membawa maut itu, ujarnya.

Antara 20 lokasi sasaran DBKU bagi menjayakan kempen kawalan tikus itu ialah Restoran Thompson Corner, Jalan Rubber, Pasar Bintangor, Pasar Sungai Maong, Kubah Ria, Bangunan Ko-Perkasa, Main Bazaar, China Street dan banyak lagi.

Advertisement