Anda di sini

Lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuba membunuh anggota polis

Advertisement

SIBU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan cuba membunuh anggota polis pada Ogos tahun lepas.

Wong Teck Sing, 46, terdahulu didakwa merempuh kereta peronda polis dan menyebabkan seorang pegawai polis iaitu Zulkifli Manaf cedera di bahagian dahi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kelupu, Bintangor pada 31 Ogos 2013 pada kira-kira jam 1.20 pagi.

Bagi kesalahan itu, Wong didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dibebas dengan ikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin, selain melaporkan diri di Balai Polis Sentral Sibu dua kali sebulan bermula 15 Mac ini.

Tertuduh turut diperintah untuk dihadapkan semula di mahkamah pada 20 Mei ini.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 26 tahun yang menghadapi dua pertuduhan rogol, dibebas tanpa dilepaskan daripada pertuduhan oleh mahkamah sama semalam.

Layang Kuta didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun dalam dua kejadian dan didakwa mengikut Seksyen 376(1), Kanun Keseksaan.

Bagi kejadian pertama, dia didakwa merogol mangsa di Sibu Jaya pada 11 Februari 2013, kira-kira jam 10 malam dan kejadian kedua di Lorong Kemuyang Timur pada 14 Februari 2013, kira-kira jam 4.10 petang.

Tertuduh telah ditahan reman sejak 2 Januari tahun ini.

Advertisement