Anda di sini

Lebih 2,000 pelajar dan ibu bapa adakan solat hajat

Advertisement

SOLAT HAJAT MH370: Warga SMK Bukit Jawa termasuk ibu bapa menunaikan solat hajat di padang SMK Bukit Jawa di Pasir Puteh, semalam. Solat hajat itu diadakan bagi memohon keselamatan para penumpang pesawat penerbangan MH 370 yang dilaporkan hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing awal pagi Sabtu lepas. — Gambar Bernama

PASIR PUTEH: Lebih 2,000 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa serta ibu bapa mengadakan solat hajat mendoakan usaha mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang sejak awal Sabtu lepas, dipermudahkan oleh Allah SWT.

Solat hajat itu diadakan di padang sekolah berkenaan di sini pada jam 8.20 pagi tadi dan diimamkan oleh Zain Arif Hassan, imam sebuah masjid di Mukim Selising.

Pengetua sekolah Harun Shafie memberitahu pemberita pihak sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru berasa terpanggil untuk mengadakan solat hajat itu sebagai usaha mereka membantu operasi mencari dan menyelamat penerbangan MH370 berkenaan.

“Ini ikhtiar kami dan kami doakan agar penumpang dan kru masih dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Zain Arif berkata umat Islam perlu bersatu hati dan mengerjakan solat hajat beramai-ramai.

“Tindakan pihak sekolah ini suatu yang terpuji kerana petunjuk daripada Allah SWT itu adalah sangat penting apatah lagi ini hari yang kelima pesawat itu dilapor hilang,” katanya.

Pesawat B777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan dilapor hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 pagi Sabtu.

Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi.

Sementara itu di KUALA TERENGGANU, Persatuan Pemandu Pelancong Terengganu mengadakan upacara keagamaan dengan menyalakan lilin di Kampung Cina bagi mendoakan keselamatan penumpang dan kru MH370.

Penganjurnya Wong Kah Foo, 31, berkata mereka juga mendoakan agar pesawat tersebut segera ditemui.

“Hanya ini antara inisiatif yang dapat kami lakukan untuk MH370,” katanya kepada pemberita, di malam semalam. — Bernama

Advertisement