Anda di sini

Kerajaan tidak bercadang perkenal dana baharu industri pembangunan kandungan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan dana baharu bagi membantu industri pembangunan kandungan terutama dalam pembangunan kemahiran dan peningkatan kandungan kerana dana sedia ada sudah memadai.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata kerajaan telah menyediakan insentif Geran Kandungan dan Aplikasi Yang Kreatif dan Inovatif (MaGICCA).

Geran itu bagi pelajar institusi pengajian tinggi menghasilkan projek-projek berkaitan kandungan dan aplikasi mudah alih untuk platform Android dan iOS yang berkualiti dan berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

“Galakan mengenai pembangunan kandungan juga turut dibuat menerusi pertandingan serta bengkel-bengkel dan Seminar Mengenai Peluang Pembangunan Kandungan,” katanya menjawab soalan Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti) dalam persidangan Dewan Rakyat semalam.

Ahmad Lai ingin tahu tindakan kementerian bagi menggalakkan golongan pelajar sekolah, mahasiswa atau individu berbakat menyertai pembangunan perisian telefon pintar dan bentuk dana yang dirancang untuk menjayakan cadangan itu.

Jailani berkata pelbagai inisiatif telah diambil bagi menggalakkan penglibatan golongan berkenaan dalam pembangunan perisian tele-fon pintar antaranya melalui program ‘Integrated Content Development Programme’ (ICONapps) yang diperke-nalkan pada 2009.

Beliau berkata program itu menawarkan bantuan kewangan merangkumi yuran latihan, pembelian perisian pembangunan, pembelian kit pembangunan perisian pihak ketiga, program pementoran serta yuran ‘online placement’ untuk perisian yang telah dibangunkan di Apple Store, Blackberry Appworld, Google Play, Windows Store, Android Market dan lain-lain platform pembelian perisian kandungan telefon pintar secara talian. — Bernama

Advertisement