Anda di sini

Insiden MH370 kukuhkan hubungan Malaysia-China

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerjasama dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dengan China.

Duta China di Malaysia Dr Huang Huikang berkata persahabatan yang sekian lama antara kedua-dua negara tidak boleh dirosakkan oleh satu insiden iaitu 153 daripada 227 penumpang MH370 adalah rakyat China.

“Lebih penting bagi kita (China dan Malaysia) adalah kawan rapat, kita adalah rakan, jadi dalam masa yang sukar ini, kita sepatutnya bekerjasama,” katanya.

China berkongsi perasaan yang sama dengan kerajaan Malaysia, berkongsi tanggungjawab dan akan melakukan yang terbaik untuk membantu kerajaan Malaysia mengendalikan insiden ini, katanya kepada media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, di Bangunan Parlimen semalam.

Pada 8 Mac, pesawat Boeing 777-200ER MAS ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada pengesanan radar pada jam 1.30 pagi, kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan Malaysia dan negara-negara lain telah masuk hari kelima hari ini (semalam) tetapi nasib para penumpang masih belum diketahui kerana pesawat itu masih belum ditemui.

Huang berkata China juga membantu operasi mencari dan menyelamat itu, termasuk menggunakan 10 satelit dan 14 kapal.

“Saya percaya dengan usaha bersama, oleh kerajaan Malaysia dan pihak antarabangsa, kami mungkin menjumpai MH370 dan kita (China) tidak akan berhenti berusaha dan berputus harap,” katanya.

Mengenai pertemuan semalam, beliau berkata kunjungan itu bagi mengeratkan lagi hubungan sedia ada yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara. — Bernama

Advertisement