Anda di sini

Fokus utama jaga kebajikan keluarga MH370, kata MAS

Advertisement

KUALA LUMPUR: Fokus utama Malaysia Airlines (MAS) kini ialah menjaga kebajikan keluarga penumpang dan kru penerbangan MH370 dengan menyediakan maklumat terkini, kemudahan pengangkutan, tempat penginapan, makanan, perubatan dan sokongan moral kepada mereka.

MAS dalam kenyataan semalam, berkata pada masa ini sebanyak 115 keluarga berada di ibu negara dan keperluan mereka dijaga oleh 72 pembantu selain penterjemah bagi keluarga dari China.

“Pembantu menyampaikan maklumat terkini berhubung operasi mencari dan menyelamat selain memberi sokongan moral,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu pembantu berkenaan meliputi warga kerja MAS yang terlatih serta sukarelawan daripada Mercy Malaysia serta Yayasan Tzu Chi dan mereka ditempatkan di lima lokasi di Beijing, China serta empat lokasi di sini.

Kata kenyataan itu MAS juga menyalurkan bantuan kewangan sewajarnya kepada semua keluarga yang berkenaan.

“Kami kesal dan berkongsi kesedihan dengan keluarga terbabit dan kami akan melakukan apa yang terdaya untuk meringankan beban mereka. Kami juga berkongsi keresahan keluarga untuk mengetahui status sebenar orang-orang kesayangan mereka,” kata kenyataan itu.

Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 pagi Sabtu.

Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari sama. — Bernama

Advertisement