Anda di sini

DBKU timbang memperluaskan penggunaan Simplass: Rudzeimer

Advertisement

KUCHING: Pelaksanaan kaedah ‘Simplass’ yang diperkenalkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sejak 2012 di Pusat Penjaja Semarak di sini mungkin diperluas.

Kaedah yang bertujuan untuk memerangkap sisa makanan lebihan dari sinki itu juga tidak ketinggalan memerangkap sisa lebihan minyak pada makanan yang sering kali mengotorkan saliran longkang.

Menurut Ketua Bahagian Kesihatan Persekitaran DBKU Rudzeimer Malek, DBKU kini mempergiatkan aktiviti kawalan kebersihan terutama di kawasan pusat penjaja makanan di sekitar bandar raya ini.

“Kaedah ‘Simplass’ digunakan untuk memerangkap sisa sampah makanan yang mengalir melalui sinki sebelum ia disalirkan terus ke dalam longkang.

“Pada masa sama, ia juga akan memerangkap lebihan minyak makanan dan seterusnya mengalirkan air yang bersih ke dalam longkang,” katanya ketika memberi penerangan berkaitan ‘Simplass’ pada sesi lawatan ke Pusat Penjaja Semarak di sini semalam.

Rudzeimer berkata, ia juga sebagai langkah pencegahan sisa lebihan makanan jatuh ke dalam longkang sekali gus mengundang kedatangan tikus mahupun lalat yang dikhuatiri boleh menyebabkan penyakit berjangkit.

Pelaksanaan kaedah tersebut merupakan projek sulung yang diurus selia oleh DBKU dan diharap dapat diselaraskan di kesemua pusat penjaja makanan di sekitar bandar raya ini, ujarnya.

“Pelaksanaan kaedah ‘Simplass’ ini dilihat mudah serta berkesan terutama dalam menjaga kebersihan pusat penjaja makanan setempat.

“Namun, pelaksanaannya secara menyeluruh di kesemua pusat penjaja makanan di bandar ini masih dikaji perinciannya yang juga disifatkan akan memakan masa yang agak panjang,” tambahnya.

Sebanyak 22 ‘Simplass’ diletakkan di Pusat Penjaja Semarak yang memakan belanja sejumlah RM44,000.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Kawal Selia DBKU, kakitangan DBKU serta pengamal media.

Advertisement