Anda di sini

DBKU akan kuat kuasa Zon Kunci Tayar bermula 1 Julai

Advertisement

SEDIA BERKHIDMAT: Abang Abdul Wahap (tengah) merakam kenangan bersama kakitangan DBKU selepas majlis penyerahan dua buah kenderaan Ford baharu DBKU kepada Bahagian Keselamatan dan Bahagian Kesihatan Persekitaran DBKU, semalam.

KUCHING: Mulai 1 Julai 2014 Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menguatkuasakan Zon Kunci Tayar di beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan laluan sibuk pada waktu puncak terutama di laluan pejalan kaki di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, penguatkuasaan kaedah berkala itu bertujuan memupuk kesedaran warga kota mengenai peraturan memarkir kenderaan di tempat betul yang telah disediakan.

“Pengenalan Zon Kunci Tayar di beberapa kawasan terpilih di sekitar bandar raya Kuching kelak diharap dapat memberi kesedaran kepada segelintir masyarakat yang gemar meletakkan kenderaan mereka di kawasan bukan tempat untuk meletak kereta.

“Justeru, dengan pelaksanaan kepada kaedah ini kelak, orang ramai akan lebih bertanggungjawab serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan terutama dalam mengikuti peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, perancangan untuk melaksana kaedah tersebut adalah berikutan terdapat masih ada segelintir warga kota yang tidak mengikuti peraturan serta undang-undang jalan raya terutama untuk meletakkan kenderaan di tempat yang betul.

Bagaimanapun, menurutnya, DBKU masih belum menetapkan jumlah bayaran penalti kepada mana-mana kenderaan yang dikunci.

“Apa yang kita lihat pada masa sekarang, masyarakat yang tidak berhemah sering kali dilihat meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki mahupun di kawasan-kawasan bukan tempat untuk meletak kenderaan.

“Jadi, apa yang menjadi kebimbangan ialah, perbuatan tersebut akan menjejaskan pejalan kaki bahkan turut menjejaskan pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya.

Antara kawasan yang dikenal pasti menjadi kawasan sasaran Zon Kunci Tayar ialah Lebuh India, Tebingan Kuching dan Satok, ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan dua buah kenderaan Ford baharu DBKU kepada Bahagian Keselamatan dan Bahagian Kesihatan Persekitaran DBKU, semalam.

Kenderaan tersebut bertujuan memudahkan kakitangan serta pegawai DBKU menjalankan tugas untuk memantau serta meronda di sekitar bandar raya ini.

Kenderaan itu masing-masing diserahkan kepada Ketua Bahagian Keselamatan Dennis Achil dan Ketua Bahagian Kesihatan Persekitaran Rudzaimer Malek.

Hadir sama Pengarah DBKU Dr Saadiah Abdul Samat.

Advertisement