Anda di sini

Bomba Mukah nasihati orang ramai elak pembakaran terbuka

Advertisement

MUKAH: Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Mukah Alimat Sam menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan keadaan cuaca yang agak panas ketika ini.

Alimat berkata, pembakaran terbuka boleh menyumbang kepada masalah jerebu selain kebakaran belukar.

Justeru, beliau menasihati masyarakat agar membuat laporan jika terdapat kebakaran.

“Apabila sesuatu perkara berlaku terutamanya kebakaran, sila laporkan segera kepada pihak kami. Ini kerana, jika dilaporkan dengan segera, pihak kami akan berusaha untuk memadamkannya dengan lebih cepat.

“Jangan tunggu bila api sudah besar baharu membuat laporan. Ketika api masih kecillah seharusnya laporan dibuat.

“Contohnya, jika berlaku kebakaran di kawasan belukar ataupun di ladang, sila hubungi bomba dengan segera untuk memastikan api tidak merebak lebih teruk,” katanya ketika ditemui semalam.

Alimat berkata, pada tahun ini pihaknya merancang untuk mengadakan kempen dan mengagihkan alat pemadam api di kawasan rumah panjang di Balingian selepas berbuat demikian di 15 buah kampung di bahagian Mukah.

“Kita akan memberi fokus kepada rumah panjang melebihi 20 pintu di kawasan Balingian.

“Pada tahun lepas kita telah berjaya mengadakan program tersebut di kawasan Selangau yang melibatkan sembilan buah rumah panjang.

“Di kawasan kampung, menerusi program yang dipanggil ‘Fire Point’ kita akan meletakkan alat pemadam api di sebuah rumah yang mudah untuk dicapai.

“Penduduk juga boleh menggunakan alat pemadam api yang telah disediakan di rumah tersebut,” katanya.

Advertisement