Anda di sini

Benak besar diramal tiga hari pesta

Advertisement

Sehingga 80,000 dijangka saksi Pesta Benak Sri Aman 16-18 Mei depan

SRI AMAN: Dijangka 60,000 hingga 80,000 pengunjung akan hadir bagi menyaksikan Pesta Benak Sri Aman 2014 yang akan diadakan di Taman Tebingan Sungai Batang Lupar dari 16 hingga 18 Mei depan.

Residen Bahagian Sri Aman Johnathan Lugoh berkata, pihaknya mempunyai sebab untuk memilih tarikh dari 16 hingga 18 Mei ini kerana dipercayai berlaku benak besar pada tiga hari itu.

Menurutnya, dipercayai benak akan mencapai ketinggian 6.1 meter pada 16 Mei, 6.2 meter pada 17 Mei dan 6.1 meter pada 18 Mei.

“Jadi, kami percaya Pesta Benak kali ini mampu menarik 60,000 hingga 80,000 orang pengunjung,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat Residen Sri Aman, semalam.

Johnathan berkata, lapan aktiviti akan diadakan pada Pesta Benak kali ini iaitu Pertunjukan Luncur Benak, Regata Benak Batang Lupar, Lumba Benak, ‘Miss Tourism Benak,’ Pameran Benak, Bazar Ria, Pentas Ria Benak dan ‘Benak Bike Week and Car Show.

’ Tiga daripada lapan aktiviti terbabit akan bermula pada 15 Mei iaitu Pentas Ria Benak, Regata Benak Batang Lupar dan acara baharu iaitu ‘Benak Bike Week and Car Show,’ jelas beliau.

Menurutnya, acara baharu itu akan berlangsung di pekarangan Hotel Hoover Sri Aman dengan selebihnya di Taman Panorama Benak (Pameran), Tebingan Sungai Batang Lupar dan pusat bandar Sri Aman (Bazar Ria).

Kos penganjuran Pesta Benak 2014 ialah RM450,000 berbanding RM520,000 pada tahun lepas disebabkan pemotongan kos bagi jemputan peluncur asing untuk temasya kali ini, katanya.

Sehubungan itu, Johnathan mengalu-alukan semua penduduk menyaksikan Pesta Benak 2014 pada tarikh yang dinyatakan.

Turut hadir Timbalan Residen (Sosial) Sri Aman Hamdan Katang, Wali Kota Sri Aman Richard Tawan, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Pegawai Daerah Lubok Antu Jack Aman Luat, Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh Muhammad dan para pegawai jabatan kerajaan di sini.

Advertisement