Anda di sini

Amanita berfungsi luas

Advertisement

HAMZA (dua kanan) memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis pelancaran Amanita peringkat Kontijen Sabah di Wisma Wanita kelmarin.

Pantau kes keganasan rumah tangga dan penderaan

KOTA KINABALU: Program Peace Lady (Amanita) berperanan luas bagi menurunkan kadar jenayah di negeri ini termasuklah bertindak sebagai badan pemantau kes-kes membabitkan keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, peranan berkenaan bersesuaian dengan interaksi aktif secara berterusan di kalangan golongan wanita dalam membantu mencegah jenayah di peringkat akar umbi.

“Selain berperanan membantu dalam penurunan kadar jenayah di negeri ini, Amanita ini juga boleh bertindak sebagai mata dan telinga pihak polis berhubung kes-kes keganasan rumahtangga dan penderaan.

“Mengenai aspek itu (keganasan dan penderaan), Amanita akan memaklumkan kepada mangsa terlibat apa yang perlu dilakukan sehinggalah ke bab pelaksanaan siasatan kes,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Amanita peringkat Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah di Wisma Wanita, di sini kelmarin.

Turut hadir, timbalan beliau Datuk Abdul Malek Harun dan Initiative Owner Amanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Komisioner Sasikala Devi Subramaniam.

Mengulas lanjut, Hamza berkata program Amanita yang turut bertepatan dengan hala tuju Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu mempunyai seramai 9,048 ahli di seluruh negeri ini.

“Untuk makluman, kita mempunyai seramai 167 pegawai Amanita di seluruh negeri meliputi 21 daerah termasuklah IPK Sabah dan melaksanakan kira-kira 147 program sejak ia ditubuhkan,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan ahli Amanita adalah terbuka kepada golongan wanita termasuklah surirumah dan orang gaji dalam meningkatkan keupayaan membendung aktiviti jenayah terutamanya di kawasan-kawasan perumahan yang didiami mereka.

“Amanita ini banyak memainkan peranan penting dalam usaha polis membendung jenayah misalnya mengambil contoh pelaksanaan Ops Pintu sehingga kejayaan tangkapan suspek-suspek pada tempoh hari.

“Malah, Amanita juga terlibat secara langsung ketika insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu tahun lepas,” katanya.

Advertisement