Anda di sini

Wan Azizah sekali lagi dapat peluang bertanding

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mungkin tidak ramai menduga bahawa pilihan raya kecil Kajang akan menghidangkan satu lagi peluang kepada presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding sebagai calon apabila beliau dipilih pada saat-saat akhir oleh parti itu menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding bagi kerusi ber-kenaan.

Dr Wan Azizah, 61, yang pernah menjadi Anggota Parlimen Permatang Pauh dari 1999 hingga 2008, antara lain diingati ramai kerana mengosongkan kerusi itu untuk membolehkan suaminya bertanding dan menang di situ pada Ogos 2008.

Beliau akan bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun daripada MCA seperti yang di-umumkan setelah selesai proses penamaan calon di Bandar Baru Bangi semalam.

Dr Wan Azizah mendapat pendidikan awal di St Nicholas Convent School, Alor Setar sebelum mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di Royal College of Surgeons, Ireland dan lulus sebagai ahli ofthalmologi bertauliah.

Beliau berkhidmat sebagai doktor kerajaan selama 14 tahun, sebelum mengambil keputusan untuk memberi tumpuan terhadap kerja suka-rela apabila Anwar dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 1993.

Dr Wan Azizah mula menceburi arena politik apabila suaminya dipecat dan ditangkap pada September 1998, yang kemudiannya melahirkan suatu gerakan hingga tertubuhnya PKR. — Bernama

Advertisement