Anda di sini

Tiada kapal selam digunakan dalam operasi

Advertisement

PETALING JAYA: Tiada kapal selam digunakan dalam operasi mencari dan mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Katanya, ini kerana kapal selam tidak sesuai melakukan tugas itu kerana ia hanya dilengkapi sistem sonar pengesan yang terhad dan tidak berupaya mengesan objek statik di dasar laut.

“Sonar yang dipasang pada kapal selam tidak mampu mengesan atau menjejak apa-apa objek yang berada di paras laut, ia hanya mampu mengesan objek yang bergerak atau yang mengeluarkan bunyi,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam di Subang di sini semalam.

Turut melawat pusat itu ialah Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Menteri Pertahanan.

Abdul Aziz berkata, bagi mengesan objek di dasar laut ia selalunya dilakukan kapal yang dilengkapi sistem sonar lebih berkeupayaan tinggi dalam mengesan objek di paras laut seperti kapal selam penyelamat, kapal hidrografi dan kapal pengesan periuk api.

Katanya, kapal yang mempunyai kelengkapan itu telah dikerahkan ke kawasan operasi termasuk kapal MV Mega Bakti, KD Perantau dan KD Mahameru milik Tentera Laut Diraja Malaysia selain MV Swift Rescue milik Tentera Laut Singapura.

“Jadi saya harap selepas ini tidak ada lagi tohmahan ataupun pertanyaan mengenai kenapa kapal selam tidak digunakan dalam operasi mencari MH370 ini,” katanya.

Pada Sabtu lepas, penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal hilang dari imbasan radar pada jam 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.

Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. — Bernama

Advertisement