Anda di sini

TBS sasarkan kutipan zakat RM63 juta sehingga hujung tahun ini

Advertisement

KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM63 juta sehingga hujung tahun ini, kata Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf Datuk Daud Abdul Rahman.

Beliau berkata, setakat penghujung Februari, sebanyak RM7.4 juta berjaya dikutip.

Daripada keseluruhan zakat yang dikutip setakat ini, menurutnya, sebanyak RM4.71 juta dibelanjakan untuk agihan bantuan.

“Tahun ini kita sasarkan untuk mengutip zakat berjumlah RM64 juta. Setakat ini (penghujung Februari), kita berjaya mengutip RM7.4 juta.

“Daripada jumlah ini (RM7.4 juta), sejumlah RM4.71 juta dibelanjakan untuk agihan bantuan,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Agihan Bantuan TBS di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) berkata, zakat potongan gaji juga menunjukkan trend positif dengan kutipan tahunan sekitar RM25 juta.

“Kutipan ini (zakat potongan gaji) adalah menerusi potongan wajib dan sukarela yang disumbangkan umat Islam yang bekerja,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Nailie menjelaskan, sepanjang tahun lepas TBS telah mengagihkan bantuan berjumlah RM35.3 juta melalui aktiviti di bawah tiga program utamanya.

Ia melibatkan Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan (PMTK), Program Memantapkan Kebajikan Ummah (PMKU) dan Program Membangunkan Institusi Islam (PMII).

“Sebagai institusi Islam yang dinamik, kita giat berusaha dalam memastikan keperluan golongan memerlukan dipenuhi dengan sewajarnya mengikut hukum syarak,” jelasnya.

Majlis agihan bantuan semalam menyaksikan 37 penerima yang layak mendapat bantuan masing-masing yang berjumlah RM54,708.

Ia meliputi RM38,400 kepada 17 penerima bantuan ke institusi pengajian tinggi (IPT), RM4,500 (bantuan sekolah agama Arab), RM2,600 kepada enam penerima (bantuan kemasukan peringkat sijil), RM4,372 (bantuan rawatan perubatan dan pembedahan) dan RM4,836 kepada tujuh penerima (bantuan sara hidup fakir miskin).

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Putit Matzen, Mufti Negeri Kipli Yassin dan Ahli Lembaga Baitulmal dan Wakaf Abu Seman Jahwie.

Advertisement