Anda di sini

Routes Asia ubah landskap ekonomi, pelancongan

Advertisement

KUCHING: Penganjuran Routes Asia adalah ‘jambatan’ penting yang banyak membantu mengubah landskap ekonomi dan pembangunan industri pelancongan.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, penganjuran itu dapat memberi peluang kepada pemain dan pelaksana syarikat penerbangan berkongsi berkaitan laluan penerbangan di negara masing-masing.

Ia sekali gus meningkatkan aktiviti laluan penerbangan di setiap negara yang terlibat dalam forum itu dan membantu merancakkan industri pelancongan, katanya.

“Routes Asia ini banyak mengubah landskap sektor pelancongan negara-negara Asia yang menjadi jambatan penting yang mencorak pembangunan ekonomi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Anugerah Routes Asia 2014 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Abang Johari memberitahu, Routes Asia 2014 di Kuching telah direkodkan sebagai acara Routes Asia terbesar pernah dikendalikan.

Malah, menurutnya, penganjuran Routes Asia diadakan pada waktu yang tepat khususnya kerana industri itu sekarang sedang menerokai kerjasama yang berpotensi dalam industri penerbangan.

“Asia sudah mengubah landskap ekonominya dengan kemunculan dua ekonomi yang sangat berpengaruh iaitu India dan China yang melengkapi Korea dan Jepun.

“Sebaliknya bagi ASEAN, 10 negara anggota sedang dalam proses untuk bekerjasama sebagai sebuah entiti ekonomi dengan populasi seramai 600 juta orang,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu dijangkakan menjelang 2015, ASEAN akan menjadi sebuah komuniti ekonomi bersepadu dan sehubungan itu, dasar penerbangan akan berubah.

“Kita melihat menjelang 2015, ASEAN akan melaksanakan dasar langit terbuka dan persoalan di hadapan kita ialah apakah impak daripada ASEAN, India, China dan Asia Timur kepada ekonomi kita.

“Salah satu jawapan ialah ekonomi negara-negara akan saling berhubung kait seterusnya membawa kepada peningkatan pendapatan dan seterusnya penggunaan,” jelasnya.

Tegasnya, dengan landskap yang berubah itu, Routes Asia harus meneroka dan mempertingkatkan kerjasama agar ia menjadi jambatan bagi semua negara ekonomi ini.

“Maka, Malaysia khususnya Sarawak yang terletak di pulau ketiga terbesar di dunia yang kaya dengan biodiversiti dan sumber semula jadi, kaya dalam kebudayaan, dan berada di tengah rantau kuasa ekonomi baharu, ingin memainkan peranannya ke arah mencapai matlamat ini,” ujarnya.

Menyentuh mengenai insiden penerbangan MAS MH370, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak ingin menyuarakan keprihatinannya terhadap pesawat yang masih hilang itu.

“Kami sama-sama merasai dan berdoa agar keluarga-keluarga mereka yang berada atas pesawat diberi kekuatan dan bimbingan oleh Tuhan Maha Kuasa pada waktu yang begitu sukar ini,” katanya.

Pada majlis itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi dinobatkan pememang Anugerah Routes Asia 2014.

Sementara itu, Anugerah Routes Asia bagi kategori penumpang melebihi 20 juta dimenangi Kumpulan Lapangan Terbang Changi dan bagi kategori penumpang antara empat juta hingga 20 juta pula disandang oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi.

Manakala kategori penumpang di bawah empat juta pula dimenangi oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Darwin dan Anugerah Pemasaran Destinasi pula dimenangi Pelancongan Australia.

Hadir sama Pengerusi Lapangan Terbang Malaysia Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan tetamu kehormat lain.

Advertisement