Anda di sini

Polis tembak tiga penjenayah warga asing

Advertisement

SUNGAI PETANI: Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing dalam Op Cantas Khas di Jalan Ladang Kuala Muda Sungai Petani-Baling dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, tiga penjenayah berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun itu melepaskan tembakan ketika diminta menghentikan kenderaan mereka oleh anggota polis.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam kejadian itu, lapan anggota termasuk seorang pegawai polis dalam Op Cantas Khas mengekori kenderaan penjenayah itu sebelum meminta mereka berhenti setelah mengesyaki sesuatu yang mencurigakan.

Katanya kumpulan penjenayah itu melepaskan tembakan dan anggota berkenaan terpaksa mempertahankan diri dengan membalas tembakan itu menyebabkan tiga penjenayah itu terkena tembakan dan maut di tempat kejadian.

“Dalam kejadian itu seorang anggota Op Cantas Khas terkena tembakan.

Bagaimanapun anggota berkenaan terselamat kerana memakai baju kalis peluru.

Anggota berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Ahmad berkata hasil siasatan mendapati kereta yang digunakan penjenayah itu iaitu jenis Proton Perdana dicuri di Pulau Pinang.

“Pemeriksaan juga menemui menemui parang, sejumlah dadah dan sepucuk senjata api (pistol) dalam kenderaan penjenayah,” katanya.

Mayat tiga penjenayah berkenaan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim.

Ahmad berkata polis akan mendapatkan maklumat lanjut pembabitan tiga penjenayah berkenaan dalam beberapa kes rompakan. — Bernama

Advertisement