Anda di sini

Polis kenal pasti warga Iran

Advertisement

LUAS TERBENTANG: Hishammuddin bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Mohd Zin memerhatikan sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia ketika membuat tinjauan menerusi pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia ke kawasan sektor Pantai Barat dala m operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370, semalam. — Gambar Bernama

Identiti seorang lagi guna pasport palsu masih disiasat, operasi belum berhasil

SEPANG: Polis mengenal pasti warganegara Iran, Pouria Nour Mohd Mehdad, 19, sebagai seorang daripada dua penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 menggunakan pasport palsu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lelaki itu menggunakan pasport warga Austria yang sebelum ini dilapor hilang di Thailand oleh pemiliknya.

Lelaki warga Iran itu dipercayai akan berpindah ke Jerman dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas, katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Khalid berkata, identiti seorang lagi penumpang yang menggunakan pasport warga Itali masih disiasat.

Polis kini menyiasat latar belakang kesemua 239 orang yang menaiki pesawat tersebut dan siasatan diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Abdul Hadi Ho Abdullah, katanya.

POURIA NOUR MOHD MEHDAD (kiri) dan DELAVAR SYED MOHAMMAD REZA

Menurut Khalid, siasatan menyentuh empat aspek iaitu pesawat itu dirampas, disabotaj, keadaan psikologi penumpang dan masalah peribadi antara penumpang pesawat. Sementara itu di Petaling Jaya, operasi mencari yang dilakukan bagi mengesan kehilangan pesawat MH370 yang memasuki hari ketiga semalam, masih gagal menemui sebarang penunjuk.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha itu bagaimanapun akan terus diperhebat dengan memperluaskan kawasan carian selain penglibatan pelbagai pihak termasuk nelayan.

“Saya mahu nyatakan di sini bahawa kawasan yang kita mahu cari pesawat terbabit merupakan kawasan yang cukup luas dan ini menginsafkan saya kerana memang sukar untuk mengesan.

“Tetapi, kita tidak akan putus asa dan saya gembira kerana ramai yang tampil untuk membantu dengan yang terbaharu dari negara Brunei yang turut menyertai usaha pencarian,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam di Subang semalam.

Hishammuddin berkata, sehingga kini jumlah aset yang dikerahkan untuk operasi itu meningkat kepada 42 kapal dan 35 pesawat yang merangkumi pencarian di kawasan perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Katanya, pada masa ini sebanyak 16 buah kapal dan 14 pesawat sedang melaksanakan operasi mencari pesawat MH370 itu di Selat Melaka, sementara di Laut China Selatan membabitkan 26 buah kapal dan 21 pesawat.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut mengalu-alukan pe-nyertaan pihak lain seperti nelayan yang dikatakan mampu menjadi mata dan telinga bagi mencari atau mengesan sebarang penunjuk mengenai pesawat MH370.

“Tadi sewaktu saya meninjau operasi pencarian di Selat Melaka dengan menaiki pesawat, saya dapati banyak kapal-kapal nelayan beroperasi di sana dan saya yakin mereka boleh membantu,” katanya.

Beliau berkata, dengan penyertaan pelbagai pihak diharapkan akan dapat mengesan penunjuk yang boleh membawa kepada perkembangan yang lebih bermakna terhadap operasi mencari pesawat itu.

Penerbangan MH370 yang dikendalikan oleh pesawat Boeing 777-200 dari Kuala Lumpur ke Beijing dilapor hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 pagi Sabtu.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal, sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Media kemudian melaporkan dua daripada penumpang MH370 didapati menggunakan pasport palsu.

Kedua-dua pasport itu sebelum ini dilapor hilang di Thailand, setelah kedua-dua pemiliknya disahkan masih hidup dan tidak menaiki pesawat tersebut. — Bernama

Advertisement