Anda di sini

Nelayan guna teknologi sonar bantu kesan MH370

Advertisement

ALOR SETAR: Nelayan Kuala Kedah menggunakan teknologi sonar pada bot mereka bagi membantu mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang sejak lima hari lepas.

Timbalan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kuala Kedah Mohd Sam Mohd Zuki berkata teknologi tersebut digunakan untuk mengesan ikan dan boleh digunakan untuk mengesan sebarang objek yang berada dalam laut.

Katanya pihaknya meminta lebih 30 bot nelayan zon C dan C2 yang menangkap ikan di kawasan Selat Melaka di sepanjang perairan negeri ini dan Perlis membantu mencari pesawat itu.

“Alat ini (sonar) boleh kesan hingga ke dasar laut dan turut berupaya mengesan haba atau tindak balas haba daripada pesawat itu. Selain sonar kita juga menggunakan sistem kedudukan sejagat atau GPS (Global Positioning System),” katanya kepada pemberita di jeti pendaratan ikan di sini semalam.

Katanya nelayan mempunyai alat perhubungan seperti walkie talkie bagi memudahkan untuk berhubung terus dari kawasan tengah laut dengan mereka yang berada di tanah besar.

“Kalau ada maklumat kita akan berhubung dengan nelayan atau tauke bot yang ada di darat dan mereka boleh terus berhubung denga pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan dengan pesawat yang hilang,” katanya.

Sabtu lepas, pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu hilang dari imbasan radar pada jam 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.

Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. — Bernama

Advertisement