Anda di sini

MDLBS bercadang adakan projek komuniti di Stapang

Advertisement

SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) bercadang untuk mengadakan projek komuniti bagi membersihkan bangsal usang yang terletak di bahagian bangunan kedai di Stapang.

Setiausaha MDLBS, Justani Joni berkata pihaknya kini sedang mencari tarikh sesuai bagi melaksanakan projek komuniti itu.

Projek itu melibatkan kerjasama MDLBS dan juga masyarakat setempat di sekitar kawasan Stapang.

“Kita sering menerima aduan daripada orang ramai mendakwa tempat letak kereta di kawasan itu tidak mencukupi terutama pada waktu pagi dan hujung minggu.

“Sebagai mengatasi masalah tersebut, saya berbincang dengan Ahli Majlis yang bertanggungjawab di kawasan ini supaya satu projek komuniti dilaksanakan bagi membersihkan kesemua bangsal usang terbabit,” katanya ditemui di sini.

Menurut Justani, projek komuniti itu dilihat sangat sesuai selain dilaksanakan secara gotong-royong dilihat dapat menjimatkan kos.

Katanya, jika tugas membersih bangsal berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada MDLBS mungkin mengambil masa dilaksanakan.

“Mungkin kita kekurangan kakitangan atau kita terpaksa membayar kontraktor membersihkan bangsal terbabit.

“Bila kita melantik kontraktor melibatkan dana dan ini akan memakan masa kerana kita terpaksa memohon terlebih dahulu dana tersebut,” ujar beliau.

Justani menjelaskan, beberapa kemudahan lain juga sedang dipertimbangkan untuk dinaik taraf dan dibaiki.

Ini termasuklah cadangan menaik taraf Pasar Tamu Stapang yang didakwa tidak mencukupi menampung jumlah penjaja.

“Begitupun, semua cadangan berkenaan dibincangkan terlebih dahulu untuk diperhalusi sebelum dilaksanakan,” katanya.

Advertisement