Anda di sini

Karpal Singh bakal lucut kelayakan sebagai MP

Advertisement

KENA DENDA: Karpal Singh (tengah) diiringi para penyokongnya selepas keluar dari kamar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Penge-rusi DAP Karpal Singh didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam bagi pertuduhan menghasut kerana mempersoalkan keputusan Sultan Perak menggugurkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 2009.

Berikutan keputusan itu, Karpal, 73, boleh lucut kelayakan sebagai anggota Parlimen (MP) Bukit Gelugor sekiranya Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan semalam.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan me-netapkan seorang MP akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.

Hakim Datuk Azman Abdullah berkata mahkamah turut mengambil kira ke-adaan kesihatan Karpal Singh (menggunakan kerusi roda) sebagai faktor mitigasi khas untuk tidak mengenakan hukuman tahanan seperti dipohon Timbalan Pendakwa Raya  Noorin Badaruddin.

Peguam utama yang me-wakili Karpal Singh, Gobind Singh Deo memberitahu pemberita kemudiannya bahawa beliau akan memfailkan notis rayuan semalam.

Karpal Singh dituduh mengeluarkan perkataan berbaur hasutan di firma guamannya di Jalan Pudu Lama pada 6 Feb, 2009, bahawa pengguguran Mohammad Nizar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baharu oleh sultan boleh dipersoalkan di mahkamah.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda RM5,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah Tinggi pada 11 Jun, 2010, melepas dan membebaskan Karpal Singh tanpa dipanggil membela diri tetapi berikutan rayuan oleh pihak pendakwa, Mahkamah Rayuan pada 20 Jan, 2012, memerintahkan MP Bukit Gelugor itu membela diri.

Anggota keluarga Karpal Singh, pemerhati asing dan pemimpin kanan pakatan pembangkang turut hadir di mahkamah semalam untuk memberikan sokongan kepada pemimpin veteran DAP itu.

Karpal Singh berkata beliau bukan sahaja berdepan kemungkinan lucut kelayakan sebagai MP tetapi juga sebagai pengerusi DAP.

Mengulas keputusan mahkamah itu, Karpal Singh berkata bagi dirinya beliau hanya menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Tugas kami sebagai MP mempunyai risiko tersendiri. MP tidak harus takut untuk bersuara dan jika sebaliknya, tidak layak menjadi MP atau Anggota Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Hakim Azman dalam penghakimannya berkata Karpal Singh seorang peguam yang handal, tetapi mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan itu dan mahkamah terikat dengan prinsip menjatuhkan hukuman.

“Tanpa rasa takut dan pilih kasih, hukuman dijatuhkan perlu mencerminkan betapa seriusnya kesalahan dilakukan.

“Mahkamah turut meng-ambil kira keadaan kesihatan tertuduh dan juga kepen-tingan awam seperti hujahan Timbalan Pendakwa Raya, jadi dengan ini mahkamah memutuskan untuk tidak mengenakan hukuman taha-nan,” kata Hakim Azman sebelum mengenakan hukuman denda.

Kalangan peguam dan khalayak dalam mahkamah memberikan reaksi berbeza dengan ada antaranya melahirkan rasa lega kerana Karpal Singh tidak dikenakan hukuman penjara tetapi membangkitkan mengenai kemungkinan pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gelugor jika pemimpin DAP itu gagal dalam rayuannya.

Terdahulu, Noorin menggesa mahkamah mengenakan hukuman berat termasuk hukuman tahanan bagi menghantar mesej jelas kepada lain-lain untuk tidak mempersoalkan kuasa Sultan.

Beliau berkata sebagai bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Perak telah bertindak betul apabila melantik seorang Menteri Besar yang baharu, dan Mahkamah Rayu-an turut memperakui sultan telah membuat keputusan mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak dalam menyelesaikan krisis politik ketika itu.

Noorin seterusnya berhujah mahkamah tidak harus menimbangkan keadaan ke-sihatan Karpal Singh sebagai faktor khusus mitigasi dengan tidak mengenakan hukuman tahanan.

Beliau berkata Karpal Singh sebagai peguam yang arif mengenai perlembagaan dengan berpengalaman hampir 45 tahun sepatutnya lebih berhati-hati semasa membuat kenyataan kepada media.

“Beliau telah memberi amaran keras kepada Sultan. Sebagai pemimpin terke-muka, beliau sepatutnya menjadi contoh kepada orang lain,” hujahnya.

Sementara itu, Gobind Singh Deo berhujah anak guamnya sebagai pesalah kali pertama merayu diberikan jaminan berkelakuan baik kerana beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai menjalankan tanggungjawab sebagai MP berhubung isu kepentingan awam.

Beliau turut mengemuka-kan dua laporan perubatan mengenai kerosakan saraf serviks dialami anak guamnya itu selepas terbabit kemala-ngan jalan raya pada Januari 2005.

Gobind Singh Deo berkata Karpal Singh terpaksa menggunakan kerusi roda dan malah perlu dibantu untuk memakai pakaian.

Hakim Azman turut berdepan kesukaran untuk me-ngawal keadaan sepanjang prosiding berikutan berlaku pertikaman lidah antara Go-bind Singh Deo dan Noorin terutama ketika hakim menolak permohonan presiden Majlis Peguam Christopher Leong dan Datuk Cyrus Das yang mewakili Persatuan Peguam Komanwel untuk mengemukakan hujahan mitigasi di mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan.

Beliau menegaskan mah-kamah memutuskan hanya peguam bela dan pihak pendakwaan dibenarkan mengemukakan hujahan mitigasi mereka.

“Ini keputusan saya. Saya terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang telah membuat dapatan kukuh apabila memerintahkan Karpal membela diri.

Pihak-pihak boleh mengemukakan apa-apa juga isu berhubung keputusan saya di peringkat rayuan,” kata Hakim Azman. — Bernama

Advertisement