Anda di sini

Chew lawan Dr Wan Azizah pada pemilihan DUN Kajang

Advertisement

KAJANG: Hanya dua orang, kedua-duanya wanita, menyerahkan borang pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Kajang pada penamaan calon pagi semalam.

Mereka ialah calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun dan calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Proses berjalan lancar di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi yang dimulakan pada jam 9 pagi dan ditutup sejam kemudian, demikian diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman.

Chew tiba di pusat penamaan calon pada 8.52 pagi untuk menyerahkan kertas pencalonan. Beliau diiringi para penyokong BN, diketuai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Wan Azizah menyusul pada jam 9.05 pagi diiringi para penyokongnya yang diketuai Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PRK itu diadakan susulan peletakan jawatan secara mengejut wakil rakyat sebelum ini, Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Januari lepas.

Antara pemimpin BN lain yang hadir di pusat penamaan calon itu ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden GERAKAN Datuk Mah Siew Keong.

Beberapa pemimpin lain termasuk Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Puteri UMNO Mas Ermieyati Samsudin dan Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir termasuk Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar.

Pengundian bagi PRK ini ditetapkan pada 23 Mac. – Bernama

Advertisement