Anda di sini

Ahli keluarga Andrew terus berharap

Advertisement

KEMBALILAH: Ahli keluarga Andrew menunjukkan gambar Andrew dan keluarganya pada upacara sembahyang dan berdoa, malam kelmarin.

SIBU: Ahli keluarga, saudara-mara serta rakan-rakan Ketua Pramugara MAS Andrew Nari masih terus mengharapkan kepulangannya ke pangkuan mereka.

Walaupun sudah tiga hari penerbangan MAS MH370 itu hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, mereka masih terus mengharapkan keajaiban berlaku agar semua penumpang pesawat itu selamat.

Pada malam kelmarin, ahli keluarga, saudara-mara serta rakan-rakan Andrew berkumpul di rumah panjang ibunya, Tuai Rumah Catherine Tamoh di Sungai Aup di sini untuk upacara sembahyang dan berdoa supaya dia dapat kembali.

Upacara tersebut diketuai oleh Justin Balang dari Kumpulan Sembahyang Rosary Rejang Park.

Bapa saudara Andrew, Augustine Liom berkata, meskipun harapan untuk menemui pesawat itu semakin tipis, namun mereka tetap mempercayai doa dan keajaiban Tuhan.

“Harapan Andrew untuk datang kembali kepada kita amat tipis, jadi kita perlu berdoa serta bersembahyang sambil berharap bahawa kuasa Tu-han boleh memberi keajaiban.

“Kami berserah kepada apa sahaja harapan. Pesawat itu kini masih tidak ditemui. Harapan kami adalah sangat tipis tetapi apa sahaja peluang yang ada, kami masih terus berharap,” katanya ditemui selepas upacara sembahyang tersebut.

Beliau berkata, ahli keluarga dan saudara-mara terutamanya ibu Andrew (Catherine Tamoh) mengalami detik sungguh sukar tetapi menerima hakikatnya walaupun berat di hati.

“Saya rasa ini adalah kali pertama tragedi terbabit berlaku di dunia ini. Dalam hati ini, kami amat sedih dengan tragedi ini,” jelasnya.

Beliau menyifatkan Andrew sebagai seorang anak yang baik termasuk menjadi seorang suami dan ayah serta beliau sangat disayangi oleh keluarganya dan mereka yang mengenalinya.

“Beliau tidak pernah berbuat jahat kepada sesiapa. Beliau mudah berkawan dengan sesiapa. Bagi saya disebabkan bapanya meninggal dunia, saya memainkan peranan sebagai bapa kerana dia tidak mempunyai bapa saudara lain dalam keluarga di sini,” katanya.

Menurut Augustine, Andrew pernah tinggal bersama beliau di Kuching selama tiga tahun semasa masih bersekolah menengah.

Katanya, Andrew sering pulang ke Sibu apabila ada kelapangan atau cuti panjang terutamanya pada perayaan Hari Gawai Dayak.

“Kali terakhir Andrew pulang ke Sibu ketika menyambut Hari Krismas tahun lalu,” katanya.

Advertisement