Anda di sini

500 kumpulan transformasi disasar

Advertisement

KUCHING: Sebanyak 500 kumpulan Perwani 1Malaysia disasar untuk diwujudkan di seluruh negeri yang akan bertindak sebagai ejen transformasi komuniti.

Menurut Ketua Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Cawangan Satok Kaunselor Manjet Sidhu, kumpulan yang dianggotai 10 hingga 20 wanita itu akan menjaga kebajikan masyarakat khususnya golongan memerlukan dengan menyebarkan maklumat mengenai bantuan disediakan kerajaan.

“Sasaran untuk mewujudkan kumpulan-kumpulan itu diyakini boleh dicapai kerana ia bukan sahaja melibatkan ahli-ahli parti, malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau wanita yang ingin menyumbang kepada masyarakat.

“Kita akan mewujudkan kumpulan di setiap 71 kawasan (Dewan Undangan Negeri), namun fokus kita adalah di kerusi-kerusi SPDP. Setiap cawangan boleh menubuhkan sekurang-kurangnya empat cawangan, dengan mudah,” ujarnya pada sidang media di ibu pejabat SPDP di Jalan Badruddin di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Wanita Olivia Chang dan Seketariat Wanita Ashton Bobby.

Manjet berkata, Perwani turut menyasar untuk membantu golongan ibu tunggal lebih-lebih lagi dari segi meningkatkan pendapatan dan ekonomi.

Di samping itu, katanya, kumpulan itu juga akan menyalurkan maklumat berhubung bantuan-bantuan dan rancangan kerajaan kepada golongan memerlukan.

Program komuniti di bawah Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga dan Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga itu turut disertai pelbagai agensi-agensi kerajaan dan NGO.

Ia merupakan satu inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk mempromosikan kesejahteraan masyarakat dengan mengerakkan pelbagai aktiviti yang bakal memberi faedah kepada anggota masyarakat setempat.

Komuniti Perwani 1Malaysia akan bertindak sebagai penghubung masyarakat dengan pihak berkuasa bagi melaporkan atau memberi maklum balas berhubung sebarang prasarana atau kemudahan awam yang memerlukan perhatian atau penambahbaikan.

Kumpulan itu hanya terbuka kepada wanita warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Sehubungan itu, Manjet berkata satu taklimat untuk mengetahui lebih lanjut berhubung program itu akan diadakan di ibu pejabat parti pada Sabtu ini, mulai jam 2.30 petang.

Ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli parti serta orang ramai yang berminat untuk menubuhkan atau menyertai kumpulan atau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Perwani 1Malaysia dijemput hadir.

Borang mendaftar sebagai Perwani yang dilancarkan di Kuala Lumpur pada 29 Jun tahun lepas juga akan diedarkan pada hari tersebut.

Untuk pertanyaan, hubungi Ashton menerusi talian 082-235805.

Advertisement