Anda di sini

12 anggota keluarga penumpang tiba dari China

Advertisement

CYBERJAYA: Dua belas anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 tiba dari China dan mendaftar masuk di Hotel Cyberview Resort & Spa dekat sini semalam.

Menurut petugas MAS yang enggan namanya disiarkan, kesemua anggota keluarga dari Beijing, China itu dibawa ke hotel berkenaan bagi mengikuti perkembangan terkini pesawat Boeing 777-200ER yang hilang sejak Sabtu lepas.

Beberapa anggota keluarga itu masih diselubungi trauma apabila dua wanita secara tiba-tiba menjerit setelah didekati wartawan dan jurufoto.

Kedua-dua wanita berusia lingkungan 30-an menjerit dalam bahasa Cina yang bermaksud ‘berhenti mendesak saya’, ‘keluar dari sini’ dan ‘jangan ganggu saya.’

Seorang lagi wanita pula menjerit: “Wanita di sebelah saya ni mengandung… jangan ganggu dia.’

Bagaimanapun, situasi kembali pulih apabila seorang pengawal keselamatan hotel itu menghalang para media daripada mendekati mereka.

Tinjauan Bernama mendapati sekumpulan kaunselor berada di lobi hotel untuk memberi khidmat kaunseling kepada anggota keluarga yang terlibat.

Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dilaporkan hilang daripada radar pada 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.

Pesawat itu membawa penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh warga China dan 38 rakyat Malaysia. — Bernama

Advertisement