Anda di sini

Wanita dipelawa sertai konvoi motosikal amal 22 Mac

Advertisement

WANITA BOLEH!: Laura (kiri) beraksi dengan motosikalnya bersama ahli-ahli kumpulan Borneo Lady Bikers, baru-baru ini.

KUCHING: Golongan wanita yang menggemari dunia permotoran dipelawa menyertai konvoi mengutip dana Borneo Lady Bikers Camaraderia (BLBMC) sejauh 35 kilometer pada 22 Mac ini.

Pengerusi penganjurnya Laura Musa berkata, program itu merupakan landasan untuk semua wanita yang mencari cabaran peribadi dan peluang menyumbang kepada masyarakat kurang bernasib baik.

“Kami akan menganjurkan perjalanan kutipan derma, Borneo Lady Bikers Motosikal Camaraderia iaitu acara menaiki motosikal 35 kilometer sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat ahli BLBMC dan sekutu, di mana hasil kutipan itu nanti akan disalurkan ke Dana Kebajikan BLBMC, bagi membantu kanak-kanak tidak bernasib baik serta ibu tunggal.

“BLBMC berharap sebilangan besar penunggang motosikal wanita dari kelab kami serta ahli-ahli dari kelab-kelab motosikal lain untuk datang bersama-sama melakukan kerja amal,” katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini.

Menurut Laura, konvoi bermula di Hotel 56 di Jalan Tun Jugah dan berakhir di Taman Tema Eko Sinar Serapi itu terbuka kepada semua wanita sama ada individu atau persatuan yang menunggang apa-apa jenis motosikal sama ada jenis biasa, skuter atau berkuasa tinggi, asalkan memiliki lesen.

Antara laluan yang bakal dilalui adalah seperti Jalan Tabuan Dayak – Jalan Tun Jugah-Jalan Laksamana Cheng Ho – Jalan Rock – Jalan Tun Abang Haji Openg – Lebuh Pearl – Jalan Tun abang Haji Openg – Jalan Satok – Jalan Tunku Abdul Rahman – Bulatan Datuk Kipli – Jalan Matang Baru – Bulatan Matang – Jalan Matang dan Laluan 1305 (belok kiri).

Acara membabitkan pegawai polis wanita untuk turut serta berkonvoi diadakan bagi menandakan genap setahun kumpulan tersebut ditubuhkan.

Beliau turut mengalu-alukan wanita dari luar negeri untuk menyertai program yang disokong kerajaan negeri dan ditaja Otovendor Sdn Bhd.

Otovender adalah satu-satunya peniaga motosikal di Sarawak yang memberi tumpuan kepada jenama Itali. Bilik pamerannya di Hakka Avenue Estate, Jalan Datuk Amar Kalong Ningkan mempamerkan jenama Itali seperti Ducati, Aprillia dan Vespa.

Setakat ini, kumpulan itu mempunyai lebih 50 ahli termasuk di Sabah dan Brunei. Datin Zalilah Elly Mohd Yusof merupakan presiden Kumpulan Borneo Lady Bikers Sarawak.

Sesiapa berminat untuk menyertai konvoi tersebut boleh berkunjung ke Hotel 56 pada 21 Mac ini dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari atau 2 petang hingga 5 petang.

Advertisement