Anda di sini

Vietnam berusaha keras bantu Malaysia

Advertisement

17 pesawat dan 11 kapal dikerah untuk membantu usaha mencari dan menyelamat

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Vietnam melakukan segala yang termampu olehnya untuk membantu Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Duta Besar Vietnam di Malaysia Nguyen Hong Thao berkata Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan Usaha Mencari akan mengemaskinikan maklumat sebaik sahaja menerimanya daripada pasukan pencari.

“Kami akan lakukan segala yang termampu sekiranya pesawat berkenaan berada di kawasan perairan kami. Malah, kami sudah mengerahkan 17 pesawat dan 11 kapal ke kawasan terjumpanya tompokan minyak serta beberapa objek yang dipercayai berasal daripada pesawat berkenaan,” katanya.

Hong Thao berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen selepas menghadiri upacara perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini semalam.

Menurut laporan, pasukan SAR Vietnam menjumpai beberapa objek yang dipercayai berasal daripada pesawat yang hilang itu.

Bagaimanapun, pada sidang akhbar semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata laporan itu tidak dapat disahkan dan tiada sebarang serpihan atau bangkai pesawat berkenaan dijumpai.

Pesawat MAS MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 12.41 pagi Sabtu. Pesawat itu dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi.

Sementara itu, Duta Besar Indonesia di Malaysia Herman Prayitno berkata lima kapal perang dan sebuah helikopter negara itu mula memasuki kawasan mencari dan menyelamat semalam bagi membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat berkenaan.

“Kami amat prihatin dan sememangnya mahu bersama-sama dalam usaha mengesan pesawat ini. Tambahan, terdapat tujuh penumpang negara Indonesia turut terlibat,” katanya.

Beliau berkata tiga waris penumpang pesawat berkenaan kini berada di Malaysia dan empat lagi dalam perjalanan ke negara ini.

“Kami rakyat Indonesia juga setiap saat menunggu perkembangan mengenai insiden ini. Ia menjadi berita utama, sama ada dalam media cetak atau media online,” katanya. — Bernama

Advertisement