Anda di sini

Terserah kepada pucuk pimpinan

Advertisement

TERIMA KASIH: Setiausaha SPPA Razali Nordin menerima cek daripada Fatimah pada sidang media bagi program ‘Sarawak Walk of Love – Purple Walk: Toward the Strenghtening of Families Institutions’ di Wisma Wanita, semalam. Turut kelihatan ahli jawatankuasa SPPA Mohd Justie Noorambia (kanan) dan Mas Adib Saiee (kiri).

Wanita PBB akan sokong calon yang dipilih Adenan untuk PRK Balingian

KUCHING: Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyerahkan pemilihan calon yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Balingian 29 Mac ini kepada Ketua Menteri selaku Presiden PBB serta Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri.

Timbalan Ketua Wanita PBB Datuk Fatimah Abdullah berkata, tidak kira calon wanita atau lelaki, pihaknya menyerahkan keputusan itu kepada kebijaksanaan Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

“Sama ada calon wanita atau tidak, ia akan diputuskan oleh satu jawatankuasa yang dibuat oleh Ketua Menteri.

“Paling penting bagi kita ialah keputusan pilihan raya nanti yang mana kita bukan hanya mahu menang tetapi menang dengan majoriti.

“Pada masa ini, kita (wa-nita) juga belum dipanggil untuk sebarang perjumpaan, tetapi dalam BN dan PBB setiap perkara akan dibincang bersama kerana beginilah cara kita memilih calon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi ulasan mengenai kebarangkalian calon wanita diletakkan di kerusi Balingian pada PRK tersebut.

Proses penamaan calon PRK Dewan Undangan Ne-geri (DUN) Balingian akan diadakan pada 17 Mac ini.

Sebelum itu, Fatimah mengadakan sidang media bagi program ‘Sarawak Walk of Love – Purple Walk: Toward the Strenghtening of Families Institutions’ yang akan berlangsung pada 5 April depan.

Justeru, beliau mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang ingin menyertai program tersebut untuk menghubungi Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga menerusi talian 082-449140 dan borang penyertaan hendaklah dihantar selewat-lewatnya 28 Mac ini.

Pada majlis tersebut, Fatimah turut menyampaikan cek sumbangan peribadi kepada Persatuan Jurugambar Media Sarawak (SPPA) sebanyak RM3,000.

Advertisement