Anda di sini

Sarawak sasar raih 105 pingat emas

Advertisement

KUCHING: Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) mensasarkan 105 pingat emas bagi 15 acara yang dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA 2014) di Perlis Mei ini.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial (KPS), Affandi Keli berkata sasaran itu adalah bagi menebus kekalahan dengan pungutan 42 emas bagi Sarawak berbanding 67 emas oleh Terengganu, juara pada SUKMA 2012 di Pahang sebelum ini.

“Lihat SUKMA 2012 di Pahang, juara adalah Terengganu dengan 67 pingat emas dan jika kita dapat 70 atau 80 pingat emas sudah menghampirinya.

“Di Pahang, kita mendapat 42 emas dan berada di tempat keempat, di Melaka 33 emas kalau kita mahu menang SUKMA 2016, kita mesti sekurang-kurangnya mendapat 80 emas.

“Untuk SUKMA 2014, kita mahu membuat yang lebih baik daripada apa yang kita telah lakukan di Pahang pada 2012.

“Kita dapat 42 emas dan sepatutnya dapat lebih daripada 40 emas selepas ini,” katanya pada Majlis Penutupan Bengkel Jurulatih dan Koordinasi Sukan MSNS di Kompleks Belia dan Sukan itu kelmarin.

Selangor mendapat 47 pingat emas manakala Melaka di tempat ketiga dengan 45 emas pada SUKMA 2012 di Pahang.

Menurut Affandi, selepas mengadakan sesi dialog itu menunjukkan jurulatih serta koordinasi sukan MSNS sudah bersedia menyahut cabaran tersebut.

Antara 15 acara yang disasarkan untuk pingat emas bagi SUKMA 2014 di Perlis Mei ini ialah akuatik, angkat berat, berbasikal, boling padang, petanque, karate, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, skuasy, taekwondo, boling, tenis dan wushu.

Manakala tujuh lagi acara yang berkemungkinan untuk mendapat pingat bukan emas iaitu perak atau gangsa ialah badminton, bola sepak, hoki, kayak, sepak takraw dan tinju.

Tegasnya, jika semua menyumbang kepada pingat emas maka dengan jumlah itu pasukan negeri akan memperolehi kedudukan terbaik.

Penganjuran bengkel untuk jurulatih dan koordinator bagi persediaan SUKMA 2014, 2015 dan Sukan SEA 2016 melibatkan hampir 80 peserta.

Ini turut menekankan kepentingan jurulatih dalam persediaan atlet melakukan yang terbaik bagi 2016, kita perlu membawa jurulatih kita ke satu peringkat.

“Kita juga merancang melawat Korea dan China mencari mereka yang boleh melatih jurulatih kita mencapai tahap kejurulatihan yang maksima.

“Kita juga sedang mencari jurulatih dari Korea dan China untuk ke sini bagi melatih jurulatih dan juga para atlet.

“Jika ia tidak memberi fokus kepada perkara ini, kita tidak akan dapat membawa atlet kita ke peringkat seterusnya,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Sukan Kebangsaan, Dr Balbir Singh dan Pemangku MSNS, Lucas Kallang.

Advertisement