Anda di sini

Rumah Francis terbakar, 55 terjejas

Advertisement

MUSNAH: Anggota bomba berusaha memadam serta mengawal kebakaran yang memusnahkan rumah panjang tersebut, semalam.

Ramai penduduk di kebun, cuma tinggal orang tua dan kanak-kanak

BINTULU: Seramai 55 orang penduduk dari rumah panjang Tuai Rumah Francis Lagan di Sungai Sap, Tatau hilang tempat tinggal setelah rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran berlaku sekitar jam 10 pagi semalam.

Semasa kejadian, kebanyakan penduduk dari 10 pintu rumah panjang itu pergi ke kebun dan ada juga pergi ke pekan berdekatan dan hanya golongan tua dan kanak-kanak sahaja berada di rumah ketika itu.

Menurut sumber Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian sekitar jam 11.33 pagi.

“Sejurus menerima maklumat, seramai 14 anggota dengan dua buah jentera pemadam api bergegas pergi ke rumah panjang terbabit terletak kira-kira 57 kilometer dari bandar Bintulu,” ujarnya.

“Sejurus sampai di lokasi kejadian jam 12.35 tengah hari, api sememangnya marak dan hampir memusnahkan keseluruhan rumah panjang berkenaan.”

Anggota bomba berusaha mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian lain dan api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

Menurut sumber, kebakaran dipercayai bemula dari sebuah bilik rumah panjang berkenaan.

Punca serta anggaran kerugian bagaimanapun masih belum dapat dipastikan memandangkan siasatan terperinci berhubung kejadian itu masih dilakukan.

Semua mangsa buat masa sekarang tinggal di rumah saudara mara berdekatan dan ada juga yang tinggal di rumah sementara atau dampa yang dibina berdekatan lokasi kebakaran.

Difahamkan kebakaran itu tidak mendatangkan kecederaan ataupun menyebabkan kemalangan jiwa memandangkan semua penghuninya sempat lari menyelamatkan diri.

Advertisement