Anda di sini

Pasukan khas dari China tiba bantu usaha mencari

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pasukan khas dari China yang terdiri daripada para pegawai berkedudukan tinggi, tiba di sini kelmarin bagi membantu usaha mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370, yang hilang sejak Sabtu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pasukan yang dianggotai wakil parti politik dan menteri-menteri berkaitan akan membantu dalam tiga aspek iaitu mencari pesawat, membantu dalam siasatan dua individu yang dikesan menggunakan pasport palsu sebagai penumpang dan membantu keluarga penumpang pesawat itu dari China.

Keluarga penumpang dari China yang akan dibantu ada yang telah tiba di sini lebih awal, kata beliau kepada pemberita di lobi Parlimen selepas majlis perasmian pembukaan penggal kedua Parlimen Ke-13 semalam.

Beliau berkata pihaknya juga sedang menunggu maklum balas hasil perbincangan dengan pihak-pihak terlibat seperti Polis dan Jabatan Imigresen untuk melihat keperluan meningkatkan lagi protokol keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

“Ia melibatkan agensi lain juga, cuma saya belum sempat bercakap dengan (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini (semalam), ketua polis negara juga bersama kami dengan Jabatan Imigresen,” kata Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan.

Beliau berkata perbincangan dengan agensi perisikan antarabangsa juga akan dijalankan mengenai hal itu.

Hishammuddin menegaskan bahawa kerajaan tidak menyembunyikan sebarang fakta daripada orang ramai mengenai apa sahaja perkembangan dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370.

“Jadi sesiapa yang bertanggungjawab dalam kenyataan akhbar akan maklumkan pada masa yang sesuai dan kalau ada soalan-soalan yang berkisar kepada fakta, tidak ada perkara yang kita (kerajaan) tidak akan maklumkan kepada orang ramai, maksudnya tiada apa yang disembunyikan pun,” katanya.

Pesawat MAS MH370 yang membawa 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan terputus hubungan pada pagi Sabtu, kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA di Sepang. Ia sepatutnya dijadual mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi. — Bernama

Advertisement