Anda di sini

Najib tangguh lawatan rasmi ke Mauritius

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan lawatan rasminya ke Mauritius ekoran insiden pesawat Penerbangan Malaysia hilang Sabtu lepas, menurut seorang jurucakap kerajaan.

Lawatan itu dijadualkan dari 11 hingga 13 Mac.

“Operasi mencari dan menyelamat bagi MH370 merupakan keutamaan kerajaan ketika ini,” menurut jurucakap itu dalam satu kenyataan.

Penerbangan MAS MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kria sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam Jumaat.

Lebih daripada 60 jam selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200ER yang melalui Laut China Selatan itu, pasukan mencari dan menyelamat antarabangsa masih belum menemui sebarang jejak pesawat yang hilang itu.

Sementara itu, Najib dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera berkata beliau telah menghubungi Perdana Menteri Mauritius Dr Navin Ramgoolam petang semalam berhubung keputusan penangguhan itu.

“Oleh kerana tragedi yang sedang menimpa pesawat MH370 dan implikasi kepada negara kita, maka saya telah mengambil keputusan untuk menangguh lawatan saya ke Mauritius yang sepatutnya saya hadir sebagai tetamu kehormat pada Hari Kemerdekaan Mauritius atas jemputan kerajaan dan perdana menteri Mauritius.

“Saya telah menelefon Perdana Menteri Mauritius petang tadi dan beliau amat memahami mengapa saya perlu membuat keputusan ini,” katanya.

Najib berkata Ramgoolam turut menyampaikan rasa sedih dan simpati beliau ke atas musibah yang berlaku dan tarikh lain untuk ke negara itu akan ditentukan kemudian. — Bernama

Advertisement