Anda di sini

Lebih ramai ibu tunggal perlu mendaftar: Fatimah

Advertisement

TERIMA KASIH: Fatimah (empat kiri) ditemani Noriah (tiga kiri) menerima cenderamata daripada Salmah (tiga kanan) di pejabat kementerian di Kuching, semalam. Turut kelihatan Samsuddin (dua kiri).

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga menyeru lebih ramai ibu tunggal tampil untuk mendaftar dengan persatuan di bawah Biro Wanita Sarawak atau kementeriannya.

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, ia adalah ekoran peningkatan statistik perceraian melibatkan pasangan berkahwin yang dicatatkan oleh Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) setiap tahun.

“Kita tubuhkan Pangkalan Data Bersepadu Ibu Tunggal Sarawak di bawah Agenda Sosial Negeri Sarawak dengan tujuan memudahkan kemas kini maklumat dan data bagi pengagihan program bagi ibu tunggal di seluruh negeri.

“Ini bukan sahaja untuk golongan ibu tunggal, tetapi juga bapa tunggal yang telah kematian isteri atau bercerai dan mempunyai tanggungan,” ujarnya pada sidang media selepas kunjungan hormat Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) semalam.

Fatimah berkata, setakat ini hanya terdapat empat pertubuhan ibu tunggal yang berdaftar di bawah kementerian iaitu Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA), Kelab Carnation Bahagian Kuching dan Samarahan, Persatuan Ibu Tunggal Wilayah Tengah (PITWITS) dan Kelab Sosial dan Kebajikan Harmoni Miri.

Sehingga Mac tahun ini sahaja, katanya, jumlah ahli persatuan PITSA adalah seramai 10,250, Kelab Carnation Bahagian Kuching dan Samarahan (380), PITWITS (1,960) dan Kelab Sosial dan Kebajikan Harmoni Miri (400) dengan jumlah keseluruhan seramai 12,990 ahli.

Jumlah data ibu tunggal yang berdaftar di bawah Biro Wanita pula sehingga 10 Mac tahun ini adalah seramai 738 orang, jelasnya.

Sementara itu, Fatimah berkata beberapa bantuan kemahiran disediakan bagi membantu golongan ibu tunggal di negeri ini iaitu Program Pemerkasaan Ekonomi Wanita (PPEW) dan Program Inkubator Ibu Tunggal (I-Kit).

“Jumlah penyertaan PPEW setakat 2013 ialah seramai 1,320 orang manakala I-Kit meliputi sembilan program sehingga tahun lepas dengan penyertaan 229 peserta,” ujarnya.

Tegas Fatimah, ia berupaya untuk meningkatkan pengetahuan kemahiran dan keyakinan para peserta di samping menyediakan landasan pertama dalam proses membina keupayaan dan memperkasakan ekonomi wanita.

“Ia juga sebagai motivasi kepada para peserta yang juga persediaan sebagai bakal usahawan baharu.

“Para peserta menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan selain melahirkan usahawanita yang berdaya saing dan mapan,” tambahnya.

Turut hadir Pengerusi PITSA Salmah Ibrahim, Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Abang Samsuddin Abang Seruji.

Advertisement