Anda di sini

LCC di negara Asia hadapi kekurangan tenaga mahir

Advertisement

KUCHING: Industri penerbangan tambang murah (LCC) dalam kalangan negara Asia berdepan cabaran utama iaitu kekurangan tenaga mahir untuk mengendalikan perkhidmatan itu.

Justeru Naib Presiden Kanan, Pengurusan Hasil dan Rangkaian, Spicejet Dr Anurag Jain berkata, cabaran itu mesti ditangani dengan lebih serius pada masa akan datang.

Sebagai contoh, katanya, industri LCC di India yang baharu sahaja bermula 10 tahun lalu, masih berdepan masalah tenaga kerja berkemahiran tinggi sehingga menjejaskan mutu perkhidmatan ditawarkan.

“Perkara ini mesti ditangani dengan lebih serius oleh negara-negara Asia dan industri pada masa akan datang.

“Isunya ialah, industri penerbangan tambang murah bukan sahaja kekurangan tenaga kerja mahir tetapi payah untuk mempertahankan mereka dalam industri ini,” ujarnya pada Sidang Kemuncak Strategi sempena penganjuran Routes Asia 2014 di BCCK, kelmarin.

Beliau antara ahli panel selain Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Kong Express Airways Andrew Cowen, Ketua Pegawai Komersil Goair Girish Nair, Pengarah Komersil AirAsia X Senthil Balan dan Ketua Komersil Air India Express Tara Naidu.

Sementara itu, Tara yang turut memberi pandangannya mengenai isu tersebut berkata LCC di India menyaksikan ia kehilangan ramai tenaga mahir terutama juruterbang yang cukup berpengalaman kerana mereka cenderung beralih ke syarikat lain.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan negara itu perlu mendapatkan juruterbang berpengalaman dari negara-negara luar yang sudahpun mempunyai sumber berpengalaman.

“Saya percaya banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap kemahiran ini, tidak hanya juruterbang dan jurutera tetapi petugas-petugas yang lain,” ujarnya.

Routes Asia 2014 berlangsung kelmarin hingga hari ini menyediakan landasan kepada syarikat-syarikat penerbangan yang mahu mengendalikan perniagaan ke, dari dan dalam wilayah Asia Pasifik.

Acara tahunan itu menghimpunkan para pemimpin dari pelbagai industri penerbangan termasuk beberapa syarikat penerbangan terbesar dari wilayah Asia Pasifik selain lapangan-lapangan terbang, pihak berkuasa pelancongan, pembuat dasar dan industri-industri berkepentingan.

Routes Asia dianjurkan oleh Routes dan pada tahun ini dia dihoskan Kementerian Pelancongan Sarawak dengan dihoskan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Advertisement