Anda di sini

LBA, Budak Pasir bertafakur hormati pesawat MH370 hilang

Advertisement

LIMBANG: Perlawanan Bola Sepak antara pasukan LBA dan Budak Pasir merebut Piala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan petang kelmarin dimulakan dengan bertafakur seminit bagi menghormati anak kapal dan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang awal pagi Sabtu lalu.

Acara bertafakur oleh jawatankuasa pengadil perlawanan itu dilakukan atas persetujuan bersama Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA).

Timbalan Pengerusi LFA, Alidin @ Brahim Tawar berkata acara bertafakur itu dilakukan sebagai tanda prihatin masyarakat Limbang khususnya peminat bola sepak terhadap insiden menimpa semua penumbang dalam pesawat malang itu.

“Kita (LFA) dan jawatankuasa pengadil turut simpati dengan apa yang berlaku dan berdoa serta berharap semoga semua penumpang dan juga kru pesawat tersebut selamat,” katanya di sini semalam.

Pada perlawanan itu, Budak Pasir menundukkan LBA dengan 2-1.

Mengulas mengenai Piala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang berlangsung sekarang, beliau berkata perlawanan berjalan lancar menyaksikan beberapa pasukan menunjukkan taring untuk ke pentas final.

“Antaranya pasukan Tiger, ABC Club, Budak Pasir dan pasukan-pasukan lain yang ingin menempah tiket ke final yang dijangka diadakan pada hujung Mac ini ataupun awal April depan,” katanya.

Advertisement