Anda di sini

Kucing berpakaian kebaya juara Pertunjukan Kostum Kucing Sarawak 2014

Advertisement

JUARA: Mimi kelihatan bergaya dengan kostum baju kebaya sekali gus menobatkannya sebagai juara bagi acara Pertunjukan Kostum Kucing di Kuching kelmarin.

KUCHING: Pertunjukan Kucing Sarawak 2014 menyaksikan sebanyak enam kucing memperagakan pakaian tradisional masyarakat tempatan pada majlis penutupan pertunjukan tersebut di Auditorium Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, kelmarin.

Bagi kategori Pertunjukan Kostum Kucing yang dipertandingkan, kucing bernama Mimi berjaya mengungguli kedudukan juara dengan memperagakan baju kebaya selain diikuti Omet di tempat kedua (baju Punjabi) serta Lailai di tempat ketiga (baju kurung).

Majlis penutupan pertunjukan itu disempurnakan oleh Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

“Ini merupakan pertujukan kucing hidup yang keempat dianjurkan DBKU selain bertemakan ‘Sayangi dan Sanjungi Kucing Sarawak’, katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Tambahnya, peserta yang menyertai pertunjukan kucing hidup adalah pencinta haiwan peliharaan kucing dari serata daerah termasuk Sri Aman, Sibu, Miri dan Kuching.

Orang ramai yang hadir juga disaji dengan pameran Uptown Cat IV serta pameran Galeri Kucing Sarawak & Kucing Hutan Borneo sebagai pengetahuan kepada masyarakat mengenai spesies kucing yang ada di negeri ini.

Pameran galeri itu merangkumi gambaran, ekologi, biologi, lokasi taburan, status perlindungan serta ancaman utama terutama bagi spesies kucing Sarawak dan kucing hutan Borneo (kucing batu, kucing dahan, kucing hutan, kucing merah dan harimau dahan).

Selain itu, DBKU turut membuka galeri pameran baharu bagi koleksi kucing yang dimiliki Mendiang Dr Betty Chung dari Hong Kong dengan 517 koleksi telah diterima DBKU dan diletakkan di situ.

Hadir sama isteri Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Advertisement