Anda di sini

Keluarga stabil, masyarakat kukuh

Advertisement

Tingkah laku ibu bapa pengaruhi perkembangan tumbesaran anak

MATU: Dalam mewujudkan kestabilan sesebuah negara dan seterusnya ke peringkat masyarakat, institusi kekeluargaan harus memainkan peranan penting.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie berkata perkembangan semua aspek terhadap seseorang bermula peringkat kanak-kanak hingga dewasa dan seterusnya sama ada merangkumi kebaikan bermula dari rumah dan insitusi kekeluargaan.

“Kalau kita lihat, institusi keluarga kini mengalami banyak perubahan dari aspek struktur, nilai dan cara hidup serta kerjaya kesan dari kemajuan negara.

“Justeru itu, kemuliaan institusi keluarga serta perkahwinan menjadi nilai masyarakat yang harus dipertahankan,” katanya  pada Majlis Anugerah Sijil Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bawang Tian di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, Abu Seman menyampaikan anugerah kepada lima pelajar cemerlang.

Menurutnya, tingkah laku ibu bapa juga boleh mempengaruhi kesempurnaan tumbesaran anak-anak.

“Aspek peningkatan taraf hidup dan pendidikan tinggi menyebabkan ibu bapa perlu bekerja bagi menampung kos perbelanjaan keluarga.

“Dalam usaha mengimbangi tuntutan itu seringkali tercetus konflik pasangan suami isteri dan faktor penting iaitu tolak ansur dan saling memahami perlu menjadi keutamaan dalam mengelakkan sebarang konflik.

“Aktiviti ini secara tidak langsung memberi kesedaran dan pengetahuan kepada ibu bapa mengenai kepentingan mengimbangi peranan serta tanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya,” ujarnya.

Abu Seman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata ia berupaya memberi kemahiran dan panduan cara keibubapaan menghadapi cabaran keluarga pada setiap kitaran hidup keluarga.

Justeru, katanya, ia bermatlamat membolehkan mereka memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan dalam mengutamakan keluarga seiring dengan pembangunan kerjaya.

“Program ini penting bagi memberi kesedaran dan pengetahuan kepada ibu bapa mengenai kepentingan dalam mengimbangi peranan serta tanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya.

“Kita memberi tumpuan kepada ibu bapa bekerja. Ini bagi membolehkan mereka peka terhadap anak-anak walaupun dibebani kesibukan tugas masing-masing,” katanya.

Advertisement