Anda di sini

Kaunselor diharap bantu kerajaan laksana dasar

Advertisement

LANTIKAN: Gramong (duduk tengah) menyaksikan Ibrahim menandatangani watikah pelantikan pada Majlis Angkat Sumpah Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli MDK semalam.

Jangan guna kedudukan untuk bertindak mengetuai masyarakat menentang kerajaan: Gramong

KANOWIT: Kaunselor yang dilantik diingatkan supaya tidak mengetuai masyarakat tempatan menentang kerajaan.

Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk), Datuk Gramong Juna berkata, ada segelintir kaunselor berbuat demikian khususnya mengetuai masyarakat protes di ladang-ladang kelapa sawit.

“Anda (kaunselor) dipilih parti komponen Barisan Nasional (BN) serta mewakili parti berkhidmat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Jadi anda diharapkan membantu kerajaan melaksanakan dasar-dasar dan polisi kepada masyarakat dan bukannya menentang kerajaan.

“Jangan mempersia-siakan kepercayaan parti terhadap anda. Kalau anda berbuat demikian lebih baik meletak jawatan sebagai kaunselor,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Daerah Kanowit (MDK) di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent, Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri, Pengerusi MDK merangkap Pegawai Daerah Kanowit Ibrahim Kipli, Timbalan Pengerusi MDK Kaunselor Benjamin Angki Kaboy dan Setiausaha MDK, Ahmad Jerry Hashim.

Seramai 30 orang ahli MDK dilantik pada kali ini untuk sesi Januari 2014 hingga Disember 2015.

Gramong yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah menegaskan bahawa kaunselor harus menyelesaikan sesuatu masalah yang berkaitan dengan rakyat dan bukannya membuat masalah.

“Gunakan saluran yang betul jika anda berasa tidak puas hati dengan polisi dan agenda kerajaan. Jangan menyalahgunakan kuasa sebagai kaunselor kerana tindakan itu boleh membawa keburukan serta mengaibkan nama parti dan PBT yang diwakili.

“Memang kita tidak dapat lari daripada masalah masyarakat tetapi kita mempunyai jalan penyelesaian jika diselesaikan dengan saluran yang betul,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berharap kaunselor MDK yang dilantik kali ini supaya dapat menjalankan tugas dengan amanah dan dedikasi mengikut kawasan masing-masing.

Katanya, kaunselor juga perlu peka dengan masalah dihadapi masyarakat di Kanowit khususnya golongan belia.

“Kita harus fokus dengan keperluan belia di sini. Rancangkan lebih banyak aktiviti berkaitan belia serta mengurangkan bayaran perkhidmatan di kemudahan pasarana sukan bagi membolehkan lebih kerap digunakan belia untuk aktiviti sukan yang membawa faedah.

“Beri peluang kepada belia kita bersukan bagi menghindari mereka terjebak gejala-gejala sosial. Ini juga merupakan salah satu usaha kita menjadikan Kanowit sifar jenayah. Kita mahu Kanowit sebagai pekan kecil ini aman dan selamat serta senang didiami,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau mahu para kaunselor bekerja sebagai satu pasukan dan tidak berpuak-puak disebabkan berlainan parti-parti komponen BN.

“Kita semua adalah sama iaitu mewakili BN. Kaunselor bekerja untuk BN dan bukannya parti-parti politik lain. Jangan jadikan perbezaan parti komponen BN, kita tidak sehaluan.

“Kita adalah sebagai tulang belakang BN. Kesetiaan anda semua dalam BN amat kita harapkan. Justeru, kaunselor memainkan peranan penting untuk kesejahteraan rakyat dan membantu kerajaan menyelesaikan masalah berkaitan,” katanya.

Advertisement