Anda di sini

Guru tuisyen parah ditetak

Advertisement

MIRI: Seorang guru tuisyen cedera parah dengan telinga kirinya hampir putus setelah ditetak seorang perompak dipercayai bersenjatakan parang dalam satu kejadian rompak di sebuah pusat tuisyen di Lutong Baru di sini, petang semalam.

Mangsa yang turut mengalami kecederaan di kepala dan lengan kanan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tudan oleh ahli keluarganya sebelum dirujuk ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut sumber, kejadian berlaku pada jam 3 petang semalam ketika mangsa, 43, yang di-percayai bersendirian di pusat tuisyen berke-naan didatangi seorang perompak bersenjata.

Perompak terbabit bertindak menetak mangsa beberapa kali sehingga menyebabkan telinga kirinya hampir putus, selain cedera di kepala dan lengan kanan dipercayai cuba mempertahankan diri.

Kemudian, perompak melarikan beg mangsa yang mengandungi dompet serta beberapa dokumen penting lain termasuk kad bank.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan polis yang dibuat suami mangsa berhubung kejadian itu.

“Buat masa ini, kita belum dapat memberikan maklumat terperinci kerana polis masih menjalankan siasatan,” katanya sambil memberitahu mangsa kini berada dalam keadaan stabil.

Advertisement