Anda di sini

Guna bantuan kerajaan dengan betul

Advertisement

Rancang perbelanjaan dengan bijak, elak meminjam dengan ah along

KUCHING: Bantuan yang diberikan kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat sepatutnya dibelanjakan dengan tujuan betul, kata Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Daud Abdul Rahman.

Beliau berkata, ini kerana sekiranya bantuan itu dibelanjakan dengan tujuan yang menyusahkan, sudah pasti akan menambah tekanan kepada penerima bantuan.

Menurutnya, keadaan seperti itu kebiasaannya akan mendorong rakyat untuk meminjam wang dengan ah long dan penyedia pinjaman wang, sekali gus menambah bebanan.

“Saya berharap penerima bantuan daripada kerajaan dapat menggunakan wang (bantuan) dengan baik.

“Jangan guna (wang bantuan) untuk tujuan lain. Rancang perbelanjaan dengan baik dan elak meminjam wang daripada ah long atau penyedia pinjaman wang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Rumah Sewa Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di sini, semalam.

Disebabkan wang bantuan tidak dibelanjakan secara berhemah, Daud berkata ada antara penerima bantuan tidak mampu membayar sewa rumah biarpun kerajaan sudah memberikan bantuan sewajarnya.

Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) menjelaskan, kerajaan sentiasa prihatin dalam membantu rakyat mengurangkan bebanan kehidupan.

“Tidak ada negara lain seperti Malaysia yang menyedia pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk (bantuan) untuk memulakan perniagaan,” ujarnya.

Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Wahap Abang Julai.

Pada majlis itu, seramai 15 ketua isi rumah (KIR) yang layak dan berdaftar dengan e-Kasih menerima bantuan sewa rumah berjumlah RM21,720 di bawah PPKB.

Majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) semalam menyaksikan setiap penerima mendapat bantuan RM1,488 masing-masing untuk setahun.

Sementara itu, Abang Abdul Wahap berkata, bantuan itu diberi sekali gus yang mana setiap bulan penerima sepatutnya mendapat RM124.

“Dengan adanya bantuan ini, kita (DBKU) berharap beban yang ditanggung penerima dapat boleh dikurangkan terutama dalam aspek bayaran sewa rumah,” katanya.

Sejak 2012 sehingga hari ini, menurutnya, seramai 56 KIR menerima bantuan sewa rumah berjumlah RM82,728.

Di bawah PPKB, tambahnya, terdapat lima bantuan disediakan termasuk bantuan sewa rumah, pengurangan beban tanggungan keluarga, penjanaan pendapatan keluarga, pendidikan dan latihan serta bantuan ihsan penduduk miskin di bandar.

“Kelima-lima projek ini dilaksanakan secara isi rumah dengan golongan sasar adalah keluarga miskin di bandar.

“Namun projek ini bukan berbentuk kebajikan sebaliknya menekankan kepada usaha mengeluarkan keluarga miskin daripada pendapatan garis kemiskinan,” ujarnya.

Advertisement