Anda di sini

Bukan minyak dari pesawat

Advertisement

PRIHATIN: Norsyazreen Aqila Rosdin menunjukkan rasa simpati ke atas kehilangan penumpang dan anak kapal pesawat MH370 dengan memegan g sekuntum bunga ros pada kempen ‘Youth Pray For MH370’ oleh Majlis Belia Malaysia di KL IA semalam. Kempen bertujuan memberi sokongan kepada keluarga mangsa dan kakitangan MAS supaya terus bersemangat menghadapi kejadi an itu. — Gambar Bernama

APMM sahkan tompokan adalah minyak bunker diguna oleh sektor perkapalan

PASIR PUTIH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam mengesahkan tompokan minyak yang dijumpai di Laut China Selatan kelmarin hanyalah minyak bunker yang memang tidak digunakan oleh kapal terbang.

Ketua Penguat Kuasa Wilayah Marin Timur APMM Datuk Nasir Adam berkata, perkara itu disahkan hasil ujian yang dibuat Jabatan Kimia Petaling Jaya.

Bahan api atau minyak bunker biasa digunakan oleh sektor perkapalan. “Saya dimaklumkan keputusan ujian minyak yang dijumpai semalam (kelmarin) adalah

negatif bukan minyak kapal terbang tetapi bunker ‘fuel’,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan APMM Daerah Maritim 10 di sini.

Kelmarin, APMM menjumpai tompokan minyak di kawasan Laut China Selatan, 100 batu nautika dari pantai Tok Bali.

Dalam pada itu, beliau berkata APMM akan meluaskan lagi kawasan mencari dan menyelamat (SAR) di Laut China Selatan selepas gagal menemui sebarang petanda dalam operasi hari ketiga meliputi kawasan seluas 1,500 batu nautika untuk mengesan pesawat MAS MH370 yang hilang Sabtu lalu.

Nasir berkata, kawasan operasi yang terbahagi kepada beberapa sektor itu turut melibatkan penggunaan unit udara APMM iaitu pesawat CL415 Bombardier selain menggunakan kapal peronda KM Langkawi, KM Segantang, KM Jujur, KM Sebatik dan KM Amanah.

“Operasi mencari kini sudah meliputi 7,656 batu nautika di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Laut China Selatan yang turut melibatkan beberapa lagi pasukan SAR dari negara luar,” katanya. Sementara itu di Sepang, objek yang pada mulanya disangka ekor kapal terbang yang dikesan di Laut China Selatan oleh beberapa pesawat yang terlibat dalam usaha mencari pesawat MAS yang hilang, akhirnya didapati merupakan beberapa batang kayu yang diikat untuk membentuk sebuah pontun oleh kapal yang dikerah ke tempat berkenaan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman pada sidang akhbar semalam.

Beliau berkata setakat ini, tiada sebarang pengesahan bahawa serpihan pesawat berkenaan dijumpai mana-mana agensi yang menyertai operasi mencari dan menyelamat, walaupun terdapat khabar angin bahawa bahagian pesawat terbabit dilihat terapung di Laut China Selatan.

“Terdapat laporan oleh pelbagai media bahawa bahagian pesawat berkenaan dijumpai oleh beberapa agensi penyelamat. Malam tadi (malam kelmarin), beberapa media melaporkan pihak berkuasa ternampak satu objek yang dipercayai adalah pintu kapal terbang.

“Bagaimanapun, laporan itu tidak disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Vietnam. Kami segera menghubungi mereka dan mereka mengesahkan bahawa mereka tidak menjumpai objek itu,” katanya.

Azharuddin berkata, pihak berkuasa juga hairan kenapa masih tidak terdapat sebarang tanda tentang pesawat yang hilang itu walaupun sudah lebih 60 jam berlalu.

Beliau berkata bukti jelas dan kukuh, seperti bahagian badan pesawat, perlu didapati untuk membolehkan kajian forensik dan analisis dibuat tentang apa yang berlaku kepada pesawat berkenaan.

Media dan beberapa pakar dari seluruh dunia memberi pelbagai teori yang boleh menyebabkan pesawat berkenaan hilang ‘begitu sahaja’, katanya.

“Kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan. Kami sendiri pun kebingungan juga,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Belia Malaysia (MBM) semalam mengedarkan bunga ros kepada pekerja MAS sebagai tanda sokongan moral supaya mereka tidak patah semangat dalam melaksanakan tugas harian berikutan kehilangan pesawat MH370.

Naib Presiden MBM Low Eng Tack berkata sebanyak 500 kuntum bunga mawar diedarkan sempena kempen ‘Youth Pray for MH37’ yang dilancarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.

Bunga itu turut diedarkan kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu, katanya.

Selain anggota MBM, 30 pelajar Butter and Olive College turut sama mengedarkan bunga ros itu.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Kerja Mohammad Rizan Hassan berkata MBM akan menggerakkan 40 badan yang bergabung melibatkan semua bangsa dan agama untuk mengadakan upacara keagamaan bermula petang semalam

Beliau juga menyeru supaya orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi atau khabar angin yang boleh memburukkan keadaan. Pesawat Boeing 777-200ER MAS itu hilang ketika dalam penerbangan di ruang angkasa antara Malaysia dan Vietnam 49 minit setelah berlepas dari KLIA pada jam 12.41 pagi Sabtu dengan membawa 239 orang, termasuk 12 anak kapal. — Bernama

Advertisement