Anda di sini

Bintulu ikrar rampas kejuaraan

Advertisement

TAHNIAH: Abdul Muin menyampaikan hadiah kepada guru-guru yang menyertai acara khas mewakili sekolah masing-masing pada Kejohanan Balapan dan Padang MSS Bahagian Bintulu kelmarin.

Atlet-atlet Bintulu berpotensi rangkul pingat pada Kejohanan MSS Peringkat Negeri

BINTULU: Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Bahagian Bintulu berikrar merampas kejuaraan pada Kejohanan MSS Peringkat Negeri bakal berlangsung di Kota Samarahan pada April depan.

Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Abdul Muin Abdul Kassim berkata, tahun lalu Bintulu menduduki naib juara pada kejohanan Balapan dan Padang MSS peringkat negeri di belakang kontinjen Kuching dan tempat ketiga pula adalah Sarikei.

Justeru, katanya, tahun ini mereka hendak merampas kedudukan nombor satu itu lebih-lebih lagi melihat atlet-atlet Bintulu ramai berpotensi merangkul pingat.

“Atlet-atlet kita berjaya memecah rekod MSS peringkat negeri Sarawak di sini,” katanya pada penangguhan Kejohanan Balapan dan Padang MSS Bahagian Bintulu di Stadium Mini Bintulu di sini kelmarin.

Abdul Muin berkata, atlet Bintulu telah bersaing antara sekolah masing-masing dan memberi sokongan agar para atlet memberikan prestasi terbaik mereka untuk mencapai kejayaan.

“Persaingan antara sekolah telah berlalu, sekarang kita adalah satu. Sesiapa yang menang akan mewakili Bintulu membawa nama besar Bintulu ke peringkat negeri di Kota Samarahan nanti,” ujarnya.

Beliau berkata, atlet yang berjaya memecah rekod diucapkan tahniah kerana mereka juga bakal mewakili Bintulu ke peringkat negeri.

Namun, beliau berharap atlet-atlet yang mewakili Bintulu akan memandangkan ke hadapan untuk terus memecah rekod dalam acara balapan dan padang di peringkat negeri nanti.

“Bawalah bendera Bintulu dengan harapan dapat memberi persaingan secara sihat dan berdisiplin.

“Tidak kira dari sekolah mana, namun kita membawa nama Bintulu sekali gus perlu bangkit dalam satu kesatuan untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.

Abdul Muin berkata, pastikan kontinjen Bintulu dapat bersaing serta bersedia merampas kedudukan tertinggi di peringkat negeri.

Sebanyak 11 kontinjen menyertai acara balapan dan padang MSS Bahagian Bintulu itu terdiri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong, SMK Tatau, SMK Baru, Kolej Vokasional, SMK Sebauh, SMK Bakun, SMK Kemena, SMK Asyakirin, SM Kai Dee, SMK Bintulu dan SMK Bandar dengan disertai oleh 1,479 atlet serta pegawai dan pembantu pasukan.

Turut hadir Penolong Pegawai PPD Bintulu Fred Entau, Pegawai PPD Sebauh Tero Bayel, Matsah Kachong mewakili pegawai PPD Tatau dan Penolong Kanan Satu SMK Kidurong mewakili pengerusi pengelola kejohanan, Sewing Gak.

Advertisement