Anda di sini

Bantu kesan golongan memerlukan bantuan: Lee

Advertisement

SIMPATI: Lee melawat Jereni yang terlantar sakit sambil mengumumkan bantuan.

Ahli-ahli JKKK dan RT diseru memainkan peranan lebih agresif sebagai mata dan telinga kerajaan

MIRI: Organisasi dan badan seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Rukun Tetangga (RT) disaran memainkan peranan lebih agresif sebagai mata dan telinga kerajaan.

Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin berkata ini bagi memudahkan usaha kerajaan mengesan sekali gus memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik yang memerlukan.

“Tanpa kerjasama JKKK, sukar kita mengesan keluarga atau individu layak mendapat bantuan. Ini menyebabkan sesetengah mereka beranggapan kerajaan mengabaikan kepentingan mereka namun sebenarnya kita tidak dimaklumkan.

“Justeru, kita harap JKKK dan RT memainkan peranan membantu kerajaan mengesan golongan memerlukan dan miskin,” katanya ketika melawat rumah keluarga miskin, Jereni Ahmat, 65, di Kuala Baram di sini.

Jereni bersama isteri dan seorang anak perempuannya tinggal di sebuah pondok yang dibina menggunakan papan lapis dan bahan binaan terpakai.

Kedua-dua suami isteri tersebut sakit dan tidak mampu bekerja manakala anak perempuannya bekerja tidak menentu untuk menampung keperluan harian.

Lee berkata, amat penting JKKK dan RT sentiasa peka mengenal pasti masalah dihadapi oleh penduduk di kawasan mereka.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, mengingatkan penduduk kampung yang mengalami masalah dan memerlukan bantuan agar tidak malu memohon bantuan daripada wakil rakyat.

Mengenai situasi Jereni, beliau berkata nama Jereni sudah disenaraikan dalam program e-Kasih selain bantuan agensi-agensi berkaitan.

Lee turut meluluskan geran bagi membina rumah lebih selesa didiami Jereni dan keluarga menggantikan pondok yang usang.

Advertisement